Make your own free website on Tripod.com

Bah 1 - Bab 3 - Qisas - Fasal 4 - Perkara 125(1) - (4)

Qanun Jinayah Syar`iyah

Bahagian 1

Bab 3

Fasal 4: Mencederakan.

 

Perkara 125 : Qisas anggota.

1) Menurut peruntukkan dalam qanun jinayah syar`iyah, seseorang yang telah merosakkan atau mencederakan anggota tubuh badan orang lain wajib dikenakan hukuman qisas ke atas penjinayah itu sebagaimana wajib ke atas orang yang melakukan jinayah pembunuhan.

 

2) Seseorang yang memotong telinga seorang yang lain wajib dipotong telinga orang yang memotong telinga itu, dan orang yang mematahkan gigi seorang yang lain wajib dipatahkan gigi orang yang mematahkan gigi tadi, dan orang yang melukakan tubuh badan seorang yang lain wajib dilukakan pula tubuh badan orang yang melukakan itu.

 

[ Inilah hukuman-hukuman yang datang dari al-Quran yang merupakan wahyu dari Allah swt. Ini terbukti kerana tidak ada cacat celanya. Berbeza sama sekali dengan undang-undang rekaan manusia yang kecacatannya amat ketara. Perbahasan demi perbahasan dilakukan oleh ahli-ahli parlimen untuk menggubal undang-undang, namun apa yang berlaku hari ini semakin teruk. Suara-suara Islam tenggelam. Manusia menjadi jahil sehingga ada suara yang meminta perogol dipotong telinga. Nampak tak tuan-tuan, apa kena mengena telinga dengan rogol? Namun cadangan jahil sebegini sampai kepada PM. Sepatutnya cadangan macam ni setakat sampai kepada personal assistant sahaja dan buang terus ke bakul sampah. Dalam pada itu, yang hairannya, cadangan-cadangan yang baik tak sempat langsung sampai kepada PM, sebab dibuang awal-awal. ]

           

3) Hukuman yang disebutkan dalam cerai (2) adalah sebagai qisas (pembalasan) ke atas penjinayah-penjinayah yang melakukan jinayah itu, di mana mereka wajib menerima hukuman yang seimbang dengan kesalahan yang mereka lakukan.

 

[ Sekiranya satu hari nanti diizinkan Allah perundangan hukum-hakam Islam tertegak di atas mukabumi ini (insyaAllah), maka perlu satu perkara diambil-kira. Bukannya apa, setelah dikaji diantara sebab kekalahan para pejuang Islam di PR `04 di T`ganu dan juga di kampus-kampus IPT baru-baru ini, selain akibat taktik penipuan pihak sekular, ada satu benda lagi yang para pejuang Islam agak alpa, iaitulah sikap terlalu syadid untuk menjatuhkan hukum, sedangkan masyarakat sekeliling masih kurang pengetahuan tentang Islam. Kita ghairah menghukum tanpa memberi penjelasan terlebih dahulu. Mari kita tengok dua hadith di bawah sebagai pengajaran:          

i) Dalam sahih Imam al-Bukhari ada suatu hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khatab r.a, katanya, “Bahawasanya seorang lelaki yang bernama Abdullah pernah dirotan oleh Nabi s.a.w kerana kesalahan meminum minuman keras. Ketika hukuman dijalankan, ada seorang lelaki diantara orangramai berkata: Wahai Tuhanku! laknatlah dia. Mendengar itu, lalu Nabi s.a.w bersabda: Janganlah kamu mengutuknya. Demi Allah! tidaklah aku ketahui tentang orang ini kecuali ianya mengasihi Allah dan rasulnya.”

 

(ii) Dari Abu Hurairah r.a, beliau mengatakan, “Bahawasanya Nabi s.a.w telah didatangkan seorang lelaki yang meminum khamar, maka sabda Nabi: Pukullah dia!. Maka diantara kami ada yang memukul dengan tangannya, ada yang memukul dengan kainnya dan ada yang memukul dengan kasutnya. Kemudian baginda s.a.w bersabda: Hendaklah kamu mencercanya!. Lalu sahabat-sahabat mengadap ke arahnya dan mencercanya: Engkau tidak bertaqwa kepada Allah! Engkau tidak malu kepada Nabi s.a.w! Dan sebahagian orangramai pula berkata: Allah telah menghina engkau. Lalu Rasulullah bersabda: Janganlah kamu berkata begitu. Janganlah kamu menolong syaitan ke atasnya. Tetapi katalah: Wahai Tuhanku! ampunilah ia, rahmatilah ia.”

 

Ini dia dua dalil yang menjadi pengajaran kepada kita kenapa kita jangan memperbesar-besarkan kesalahan orang lain. Yang kata salah orang, kalau kita cari, kita himpun, boleh seguni tuan-tuan. Apa yang Nabi ajar ialah kalau nak cerca, hanya di tempat yang dibenarkan oleh syara`. Tapi jangan sekali-kali melaknat pesalah tersebut. Apa maksud “laknat”? Maksud “laknat” ialah mengundang kemurkaan daripada Allah Ta`ala. Jadi kalau kita minta Allah melaknat seseorang, bermakna kita minta Allah Ta`ala murka ke atas orang tersebut. Cuba lihat apa Nabi sebut dalam hadith pertama yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, kata baginda, “Demi Allah! tidaklah aku ketahui tentang orang ini kecuali ianya kasih kepada Allah dan rasulnya.”...Ini dia tuan-tuan, walaupun orang itu dari segi zahirnya seorang pesalah peminum khamar, namun, jauh di dalam hatinya, dia sebenarnya masih seorang yang kasihkan Allah dan rasulullah. Bukan senang nak dapat pengikhtirafan dari Nabi macam ni yang didatangkan wahyu oleh Allah tentang siapa sebenarnya diri orang itu.

 

Tuan-tuan cuba flashback tentang apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Adam alaihissalam. Kalau nak cerita tentang melanggar hukum Allah, Nabi Adam juga pernah melakukannya. Namun begitu, Allah ta`ala memperjelaskan kepada kita bahwa wujud perbezaan diantara orang soleh yang melanggar hukum Allah, dengan golongan yang sengaja menderhaka kepada Allah. Lihat apa yang Nabi Adam ucap sebagai penyesalannya melanggar hukum Allah, katanya, “Wahai Tuhanku, kami telah menzalimi diri kami sendiri, jika sekiranya Engkau tidak mengampuni dan merahmati kami, maka kami akan menjadi golongan yang rugi.”...Ini berbeza dengan gaya syaitan melanggar hukum Allah, yang terang-terang mempertikaikan suruhan Allah dengan nada amat takabbur. Depan Allah, mendabik dada katanya, “Aku lebih baik darinya, yang Engkau cipta aku daripada api, sedangkan dia daripada tanah. Mana mungkin aku tunduk hormat kepadanya!”...Maka dengan kenyataannya itu, secara automatik syaitan jatuh kuffur kepada Allah. Ini dia tuan-tuan, dua keadaan yang kita perlu tahu membezakannya.

 

Sebab itu jangan terkejut kalau ada sahabat yang selama ini kita kenalinya sebagai seorang yang baik, seorang yang rajin solat, rajin puasa, keluarkan zakat, cinta kepada perjuangan Islam, tetapi tiba-tiba satu hari kita dapati dia melakukan dosa. Orang macam ini kita jangan terburu-buru singkirkan dia, sebaliknya kita tanya dia dulu sebab apa dia melakukan dosa, kemudian selepas dikenal-pasti puncanya, baru diberikan nasihat supaya bersegera dia bertaubat kepada Allah. Namun ia berbeza dengan golongan yang perangai seperti iblis yang juga melakukan dosa tetapi dengan niat yang jahat untuk mempertikaikan Allah.

 

Satu lagi pengajaran yang boleh diambil dari dua hadith di atas ialah tidak mustahil orang-orang yang beriman juga berkemungkinan untuk melakukan kesilapan dalam menilai seseorang. Kesilapan dalam membuat keputusan bukan saja berlaku di zaman kita sekarang, malah di zaman para sahabat radiallahuanhu juga pernah berlaku. Contohnya dalam satu peristiwa yang berlaku sebelum Fathul Mekah, seperti diriwayatkan dalam Sahih Muslim. Dari Ubaidullah bin Rafi`, katanya, “Aku mendengar Ali bin Abi Talib berkata: Rasulullah s.a.w telah mengeluarkan arahan kepada aku, Zubair dan Miqdad dengan bersabda: Pergi ke taman Khakh (yang terletak antara Madinah dan Mekah). Di sana kamu akan menjumpai seorang wanita menunggangi unta. Pada dirinya ada sepucuk surat yang kamu mesti ambil darinya. Jadi, kami bergegas memacu kuda, dan setelah menjumpai wanita itu, kami minta surat itu diserahkan. Wanita itu berkata: Tidak ada surat bersamaku. Kami berkata: Adakah kamu nak keluarkan surat itu atau kami akan telanjangkan kamu? Lalu, wanita itu mengeluarkan surat tersebut dari celah-celah rambutnya. Kami serahkan surat itu kepada Rasulullah, yang ditulis oleh Hatib bin Abi Balta`ah kepada beberapa orang musyrikin Mekah tentang rancangan Nabi s.a.w. Rasulullah berkata: Hatib! Surat ini untuk apa? Berkata Hatib: Ya Rasulullah, janganlah kamu terburu-buru menghukumku. Aku seorang yang bersama dengan Quraisy. Berkata Sufyan: Dia rapat dengan mereka (Quraisy) tetapi bukan dari kalangan mereka. (Hatib berkata lagi): Sahabat-sahabat Muhajirin yang berhijrah bersama kamu semuanya mempunyai pertalian-darah dengan mereka (Quraisy), jadi, sudah pasti mereka akan melindungi keluarga mereka. Tapi aku yang tidak mempunyai pertalian-darah dengan mereka, bagaimana ya Rasulullah? Aku juga ingin melindungi ahli keluarga ku. Sebab itu aku mengutus surat ini supaya ada dikalangan mereka melindungi keluargaku. Aku melakukan perkara ini bukan disebabkan untuk menentang mu ya Rasul Allah, jauh sekali menjadi kafir atau munafik kerana aku amat benci kekafiran setelah aku (memeluk) Islam. Setelah mendengar penjelasan Hatib, Rasulullah berkata: Kamu berkata benar. Berkata Umar: Wahai Rasulullah! Izinkan aku pancung saja leher si munafik ini! Namun kehendak Umar dihalang oleh Rasulullah dengan sabdanya: Dia adalah ahli Badr, dan tahukah kamu Allah s.w.t amat mengasihi ahli-ahli Badr dalam firmanNya: Buatlah apa sahaja yang kamu suka, Aku mengampuni kamu.”…Inilah contoh kita lihat kadang-kala, dikalangan sahabat pun ada yang salah pertimbangan mereka, inikan pula kita hari ini yang mempunyai ilmu yang terlalu sedikit kalau nak dibandingkan dengan para sahabat radiallahuanhu.

 

Dalam hadith yang kedua, kita lihat pula Nabi s.a.w suruh khalayak ramai mencerca dengan mengeluarkan kata-kata yang boleh mendera perasaan orang yang dihukum. Jadi, mencerca juga menjadi salah satu dari hukuman dalam ajaran Islam. Kalau dengan cercaan boleh memberi kesedaran kepada seseorang yang membuat kesalahan, kita perlu melakukannya. Tapi jangan keluar perkataan “melaknat”. Kalau setakat kata kat dia bodoh, bangang, itu dibenarkan sebagai hukuman ta`zir. Ini ada dalam Islam tuan-tuan. Tapi undang-undang dalam negara kita hari ini, tidak ada. ]

 

4) Hukuman qisas yang dikenakan ke atas penjinayah-penjinayah yang mencederakan anggota dan melukakan tubuh badan orang lain hendaklah dibalas dengan balasan yang bersamaan, iaitu mencederakan anggota badan dibalas dengan mencederakan anggota badan, dan melukakan dibalas dengan melukakan. Hukuman ini adalah  berdalilkan nas-nas berikut:

a)      Firman Allah Taala (yang bermaksud):

Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah al-Ma`idah: 45)

b)      Hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a :

Bahawa seorang Yahudi telah menyepitkan kepala seorang anak perempuan antara dua batu, lalu ditanyakan kepadanya: Siapa yang melakukan perbuatan itu kepada engkau, betulkah si anu? Hingga disebutkan nama orang Yahudi itu, lalu diisyaratkannya dengan kepalanya. Maka didatangkanlah orang Yahudi itu, lalu ia mengaku. Maka Nabi s.a.w pun menyuruh sahabatnya menyepitkan kepala orang yahudi itu dengan kedua buah batu itu.  (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

[ Ini dia tuan-tuan dahulu pada zaman Nabi, yahudi tunduk kepada Islam, namun hari ini keadaan dah jadi terbalik. Kini mereka menguasai dunia sehinggakan PBB sanggup jadi balaci kepada negara yahudi tu. Kalau berlaku apa saja pertembungan senjata melibatkan Israel, kita akan lihat bagaimana PBB gagal berfungsi. Tetapi sekiranya dilihat Israel nak kalah, tiba-tiba sahaja resolusi demi resolusi dikemukakan untuk menamatkan peperangan yang merugikan Israel.   

Sehingga ke hari ini seluruh dunia berdiam diri apabila Palestin diserang. Inilah hasilnya apabila semua kerajaan-kerajaan orang Islam jadi bacul, hanya sekadar diam berpeluk tubuh terhadap apa yang berlaku di Palestin. Liga Arab dan begitulah juga OIC gagal berfungsi kerana kesemua pemimpin-pemimpin negara orang Islam takutkan Amerika. Setelah Amerika mengejutkan mereka dengan apa dilakukan ke atas Saddam Hussein, maka semua pemimpin-pemimpin Islam yang biasa dengan kemewahan menjadi bimbang. Mereka lebih bimbangkan “kerusi” mereka daripada bimbangkan nyawa umat Islam. Semua mereka diam. Tidak ada seorang pun dikalangan mereka berani mengecam memberi amaran bahwa mereka akan campurtangan ataupun menghulurkan bantuan senjata, malah mereka sendiri turut mengikut langkah tuan mereka, Amerika syaitan al-akbar, dengan mengenakan sekatan ekonomi terhadap Palestin. Inilah perkembangan di timur tengah yang sangat mendukacitakan kita, termasuklah media-media yang langsung tidak membantu. Walaupun ada liputan-liputan tentang serangan terhadap orang Islam, tetapi kerenah media-media masih seperti sebelumnya. Kesemua media masih menyiarkan hiburan-hiburan yang melalaikan generasi muda terhadap apa yang berlaku di dalam dunia orang Islam. Sudahlah media dimandulkan, khutbah-khutbah di mimbar pun sama, masih membicarakan tentang masalah alam sekitar, sedangkan setiap hari dunia Islam dibom.  

Di negara Islam hadhari juga tidak kurang kecelaruannya. Isu murtad semakin menjadi-jadi. Penjelasan tentang kemurtadan perlu diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya. Barangsiapa iktikadnya yang membawa kepada murtad, maka ketika itu ia sudah pun murtad. Ini orang awam perlu tahu. Bahkan peguam-peguam yang mengaku Islam tetapi mereka menyokong untuk orang murtad, ketahuilah bahwa mereka itu juga turut murtad. Seperti juga peguam-peguam Islam yang menyokong gerakan IFC untuk menghapuskan Islam dalam negara ini, mereka juga sebenarnya telah pun murtad walaupun mereka masih bernama dengan nama-nama Islam. Ini adalah kerana mereka bersatu menyokong orang-orang kafir untuk memerangi umat Islam. Menjatuhkan Islam adalah perbuatan yang kufur. Dalam Quran sebut cukup jelas bahwa sesiapa yang memberikan wala`kepada pihak kafir, maka dia dikalangan mereka. Di sini isu yang dilihat ialah usaha pihak kafir untuk menjatuhkan mahkamah syariah. Mereka mahu isu-isu syariah didengarkan di mahkamah sivil. Sebab itu kes Lina Joy menjadi tumpuan dunia, kerana kes tersebut akan menjadi titik-tolak untuk memungkinkan negara ini dihitam-putihkan secara jelas dengan mengubah perlembagaannya supaya Islam tidak lagi menjadi agama rasmi persekutuan. Ya memang PM telah memberi amaran kepada golongan yang menyokong penubuhan IFC, tetapi barang diingat bahwa golongan ini sama sekali tidak akan berhenti dari agenda mereka. Mungkin pusingan ini mereka tidak berjaya. Tapi ketahuilah, pasti mereka akan merancang strategi seterusnya. Inilah yang peringatkan oleh Allah kepada kita tentang golongan ini (yahudi/nasara), yang sama-sekali tidak redha dengan Islam. 

Dalam keadaan umat Islam akhir zaman yang semakin tertekan hari ini, sepatutnya pejabat-pejabat agama di keseluruhan negara hendaklah menulis khutbah-khutbah yang boleh membangkitkan semangat dan memberi kesedaran kepada umat Islam tentang bahayanya isu murtad ini. Semua agenda ke arah murtad hendaklah ditentang. Pihak media tolong beri penuh perhatian dalam masalah ini. Kalau tidak boleh hapuskan kesemuanya, sekurang-kurangnya limitkan siaran hiburan-hiburan yang melalaikan orang Islam daripada isu asal kita. Semua penceramah, tak kiralah, di masjid, di tv, di mana-mana sahaja, sudah tidak ada masa lagi untuk bercakap tentang cerita-cerita lawak bodoh yang tidak memberi faedah, sebaliknya hendaklah mereka menegaskan tentang bahayanya masalah murtad.

Namun bukan semua boleh tangani isu murtad. Golongan yang Allah sebut di dalam Surah al-Maidah ayat 54-56 sahaja mempunyai ciri-ciri yang boleh menentang orang-orang murtad. Allah sebut, “Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad dikalangan kamu dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah cintakan mereka dan mereka cintakan Allah, mereka berlemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi menunjukkan kekuatan terhadap orang-orang kafir; mereka berjuang pada jalan Allah dan mereka tidak takut pada celaan orang-orang yang mencela. Yang demikian itu kurniaan Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah itu maha luas kurniaanNya lagi maha Mengetahui. Sesungguhnya yang menjadi pemimpin kamu adalah Allah, rasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, serta mereka rukuk bersama orang-orang yang rukuk. Barangsiapa yang mengangkat pemimpinnya Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman, maka sesungguhnya parti Allah lah yang akan mencapai kemenangan.”             

Allahu`alam.

10/04/07

picture1.jpg