Make your own free website on Tripod.com
Bah 1 - Bab 3 - Qisas - Fasal 1 - Pembunuhan - Per 98 - 103

Bab Ketiga

Qisas

Fasal Pertama

Pembunuhan

 

Perkara 98: Qisas

Ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas, iaitu membunuh dibalas dengan bunuh (hutang nyawa dibayar dengan nyawa), menghilangkan salah satu dari anggota orang lain, atau melukakannnya, atau mencederakannya dibalas dengan hukuman mengikut jenis kesalahan yang dilakukannya. (Kitab al-Fiqhu`alal Mazahibil Aba`ah: 5/244)

 

[ Inilah dia definasi qisas secara umum. Ianya satu hukuman yang dikenakan dengan balasan yang seimbang. Sebagai contohnya, kalau ia melibatkan pembunuhan, maka ia akan dibalas dengan bunuh. Kalau ia melibatkan kehilangan anggota badan, maka balasannya juga adalah menghilangkan anggota badan si penjinayah yang terbabit. ]

 

Perkara 99: Hukuman qisas.

1) Dalam qanun jinayah syar`iyah, hukuman qisas adalah seperti hukuman hudud, iaitu hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya dengan berlandaskan nas-nas al-Quran dan hadith Rasulullah saw kerana melakukan kesalahan-kesalahan yang melibatkan hilang nyawa seseorang manusia atau binasa tubuh badan mereka.

 

[ Secara umumnya bila kita sebut qisas, ia akan digandingkan dengan hudud. Sebab dari segi bentuk dan kadar hukuman antara hukuman qisas dengan hukuman hudud sama saja, iaitu telah ditetapkan oleh Allah swt. Maknanya, kita tak boleh pinda. Tapi perlaksanaan antara kedua-dua hukuman qisas dan hudud ini ada perbezaannya. Sepertimana yang kita telah sebut sebelum ini, hukuman hudud adalah straight under tanggungjawab pemerintah. Tapi hukuman qisas, tidak. Dalam hukuman qisas, pemerintah tidak boleh melaksanakan sebarang hukuman sehinggalah pemerintah mendapat izin terlebih dahulu daripada mangsa ataupun keluarga mangsa. Misalnya dalam kes pembunuhan. Apabila dibuktikan dan didapati si A adalah penjinayah yang membunuh si mati, maka kita kena cari pewaris kepada si mati. Sebab dalam undang-undang Islam, kerajaan tidak boleh menjatuhkan hukuman bunuh balas kepada si penjinayah sehingga mendapat arahan daripada ahli keluarga si mati. Ini yang dikatakan Qisas. Maknanya kuasa perlaksanaan itu terletak kepada ahli keluarga si mati, bukannya kerajaan. Kerajaan kena cari setiap ahli keluarga si mati walaupun mereka berada di luar negara sekalipun. Selagi belum dapat izin daripada ahli keluarga si mati, maka selagi itulah si pembunuh hendaklah dipenjarakan.

Sebagai contoh, katalah si mati ini ada anak 3 orang. Dua antara anaknya itu mahu si pembunuh dibunuh balas. Tapi seorang lagi anak pula tidak mahu pembunuh ayahnya dibunuh balas. Bila berlaku keadaan macam ni, maka kerajaan masih tidak boleh membunuh balas ke atas si pembunuh. Inilah dia kuasa yang diberikan oleh Allah swt kepada waris yang ditinggalkan si mati. Maknanya kalau kerajaan nak jatuhkan hukuman qisas, maka kerajaan mestilah mendapat izin yang mutlak daripada kesemua waris yang ditinggalkan oleh si mati.

Bila kita cakap tentang qisas ni tuan-tuan, sebenarnya kita masih menanti-nanti perlaksanaan hukuman ini oleh sebuah kerajaan negara Islam yang dah lama dah declare sebagai negara Islam. Bila lagi, kita pun tak tau?...Walhal ramai jugak dalam kem umno/bn sekarang ni yang pandai bercakap tentang Islam. Malah dalam parlimen pun dah ada. Apa lagi orang seperti Dr Amran Kasimin, Dr Mashitah Ibrahim dll itu tunggu?...Depa ni jangan jadi setan bisu sudah.

Okay balik pada bab qisas tadi. Walaupun dalam undang-undang yang kita pakai hari ini ada Sesyen 3-0-2 penal code (qanun keseksaan) yang memperuntukkan hukuman bunuh di tali gantung kepada orang yang kesalahannya membunuh; tetapi itu bukannya qisas. Sebab, yang pertamanya ialah pembunuhan telah ditetapkan mesti dilakukan di tali gantung. Qisas bukan macam tu. Yang keduanya ialah pembunuhan ke atas si pembunuh bukan dari arahan daripada ahli keluarga mangsa. Dan yang ketiganya ialah cara pembuktiannya juga berbeza dengan undang-undang Islam. Jadi selepas ni kalau ada sesiapa kata Sesyen 3-0-2 Kanun keseksaan dalam negara ini sebagai bukti bahwa negara kita juga melaksanakan hukuman qisas, maka kita kena bagitau kat dia bahwa anggapannya itu silap!

Antara kes yang paling clear (dah banyak kali ana sebut) menunjukkan M`sia tidak melaksanakan hukum qisas ialah kes pembunuhan Dato` Taha. Ia dibunuh akibat pergeseran dalam politik umno. Antara umno sama umno tu tuan-tuan. Apabila Dato` Mokhtar Hashim yang didapati bersalah membunuh Dato` Taha dibebaskan oleh pemerintah tanpa keizinan daripada ahli keluarga Dato` Taha, maka ini merupakan satu kezaliman ke atas keluarga Dato` Taha. Inilah akibatnya apabila undang-undang yang diciplak daripada barat diguna-pakai. Berlaku kezaliman. Sebab itu kita mau undang-undang Islam. Sekiranya undang-undang Islam diwujudkan; tak kiralah, samada antara umno dengan umno ka, antara Pas dengan umno ka, antara Dap dengan umno ka; keadilan pasti nyata. Ini janji  Allah swt.

Bila sebut zalim ni tuan-tuan, cuba kita lihat peringatan daripada Allah swt dengan lisan Nabi saw, kata baginda, "Sesiapa yang menolong orang yang zalim, maka Allah ta`ala akan bagi kuasa kepada orang yang ditolongnya itu untuk melakukan kezaliman kepada si penolong."...Maksud dia macam ni. Katalah kita tahu si A memang jahat, tapi kita tolong dia juga. Samada kita bagi duit kat dia ka, ataupun bersekongkol dengan dia ka, ataupun dengan cara bagi undi kat dia ka; ini semua membawa makna kita tolong dia. Maka kata Nabi saw bahwa akan sampai satu masa, Allah swt akan bagi kuasa kepada si A untuk buat zalim kat kita balik. Ini dia amaran daripada Nabi kita Muhammad saw.

Contohnya, memang dah berlaku depan mata kita sendiri tuan-tuan. Kalau ada yang tersinggung dengan contoh yang ana bawa ni, ana minta maaf banyak-banyak. Tapi sekurang-kurangnya, boleh kita ambik sebagai pengajaran. Okay, kita tengok sendiri apa yang dah berlaku pada Dato` Seri Anwar Ibrahim?...Ingat tak lagi dengan isu pemecatan Tun Salleh Abbas pada tahun 1988 daripada Jawatan Ketua Hakim Negara yang pada ketika itu Dato` Seri Anwar masih TPM?...Mari kita flashback apa yang berlaku selepas kejadian tersebut. Isu selepas pemecatan itu ialah berlakunya pilihanraya di mana Tun Salleh Abbas masuk bertanding menentang Shahrizat di Parlimen Lembah Pantai. Kita boleh lihat sendiri bagaimana ketika itu, Dato` Seri Anwar berkempen menentang Tun Salleh Abbas walaupun diketahui ianya dipecat secara zalim oleh Tun Mahathir. Ini bermakna Dato` Seri Anwar mempertahankan tindakan zalim Tun Mahathir. Begitu juga ketika berlakunya pemecatan Dato` Ishak Baharom. Waktu itu Anwar juga sebagai TPMnya. Memanglah semua orang melakukan kesilapan. Tapi nak sebutnya, walaupun Dato` Ishak Baharom dizalimi, Anwar tetap menyebelahi Tun Dr Mahathir. Nampak tak tuan-tuan, ini yang Nabi saw kata dalam hadith tadi. Kemudiannya, sepertimana yang kita semua tahu, pada 2 Sept 1998, Allah beri kuasa kepada Tun Dr Mahathir untuk buat zalim kat Anwar pula. Ini dia tuan-tuan. Saya bukannya nak suruh kita semua benci pada Dato` Seri Anwar. Tapi inilah realitinya.

Jadi kita sebagai orang yang mengaku berugama Islam, tak kiralah daripada parti mana pun, tak kiralah berjawatan apa pun, selagi kita Islam, maka berkewajipan bagi kita untuk tolong Dato` Seri Anwar Ibrahim kerana beliau dizalimi. Itu yang Paklah kena faham. Tak guna kalau Islam hadhori diperkenalkannya sekalipun kalau Paklah masih terus mengekalkan sistem yang terang-terang zalim ini. Sebab, dia juga akan masuk dalam kelompok orang yang melakukan kezaliman sekiranya meneruskan kezaliman yang sedia ada. Sepatutnya Paklah yang berkuasa sekarang, berkewajipan untuk  membebaskan saudara Anwar Ibrahim. Ini bukan cerita basi tuan-tuan, sebab isu ini masih belum settle lagi.

Bukannya apa tuan-tuan, pointnya di sini ana nak bagitau ialah kalau tuan-tuan bersama dengan orang yang zalim, maka akan sampai satu masa Allah akan bagi kemampuan kepada orang yang zalim itu untuk menzalimi diri tuan-tuan. Ini merupakan amaran daripada lisan Nabi kita Muhammad saw. Tapi yang ana hairannya, takkan bekas Imam Masjid Negara tak jumpa hadith ni?...Takkan dia tak tau, orang yang ditentangnya dalam pilihanraya umum baru-baru ini adalah seorang yang dizalimi?...Dah lebih 5 tahun Kak Wan dipisahkan secara zalim oleh pihak kerajaan. Sebab apa kita kata zalim?...Cuba kita tengok satu kisah di zaman Khalifah Umar al-Khatab. Di suatu malam ketika mana Saidina Umar berjalan-jalan, tiba-tiba dia terdengar suara rintihan seorang perempuan dari sebuah rumah. Lalu dia menghampiri rumah tersebut. Ungkapan-ungkapan rintihan perempuan itu sungguh meragut jiwa Saidina Umar. Kata perempuan itu, "Penderitaan ku sehingga bergoncangnya katil ku ini!"...Ini maknanya nafsu seorang perempuan yang inginkan suami berada di sisi, sedangkan suaminya seorang tentera Islam yang telah dihantar ke medan jihad oleh Saidina Umar sudah melebihi daripada setahun. Bila berlaku macam tu, Saidina Umar pun balik menemui anaknya Habsah radiallahuanha, lalu bertanya Umar kepada Habsah, "Berapa lama seorang perempuan boleh bertahan tanpa suami?"...Habsah kata, "Perempuan boleh bersabar tanpa suami di sisi hanya setakat 5 hingga 6 bulan sahaja."...Jadi bermula daripada peristiwa inilah, maka kata Umar, "Mana-mana tentera Islam yang dihantar keluar negara hendaklah dipulangkan balik ke pangkuan keluarganya selepas 6 bulan."...Inilah dasar Islam yang dipelopori daripada pemerintahan Saidina Umar al-Khatab, untuk mengelak daripada berlakunya kezaliman kepada rakyat di bawah pemerintahannya. Tapi kat M`sia hari ini, bukan kata 6 bulan, malah dah lebih 5 tahun Anwar Ibrahim dipisahkan secara zalim daripada isterinya. Begitulah juga dengan tahanan-tahanan ISA yang lain. Dah lebih 2 tahun mereka dipisahkan daripada isteri dan anak-anak mereka. Siapa yang nak tanggung dosa penderitaan isteri-isteri yang terpaksa mengharungi keperitan hidup tanpa suami apa semua ni?...Saya tak sanggup tuan-tuan. Kalau tuan-tuan sanggup bersekongkol dengan puak zalim ni, tuan-tuan kena ingat!  Nabi saw kata, "Sapa yang tolong orang yang zalim, Allah akan bagi kuasa kepada orang yang zalim itu untuk melakukan kezaliman kepada si penolongnya tadi."...Ini adalah janji daripada Nabi Muhammad saw yang pasti akan berlaku.

Bila sebut nama Dato` Seri Anwar Ibrahim, mari kita ambik kesempatan untuk compare kes beliau dengan kes Jacky Chan, seorang ahli MCA di Pulau Pinang ini yang ditangkap di bawah emergency ordinance kerana aktiviti samsengnya. Seperti yang kita sedia maklum, baru-baru ini dengan tanpa sebab yang diketahui oleh masyarakat, tiba-tiba lembaga pengampunan telah mengampunkan si samseng Jacky Chan ini. Sepatutnya kita sebagai rakyat, berhak untuk mengetahui; kenapa kerajaan membebaskan si samseng ini?...Ini dia tuan-tuan. Kita tak kira sapa, samseng daripada parti mana sekalipun; yang kita nak tau ialah kenapa orang yang ditangkap di bawah emergency ordinance, yang mana mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk mengaitkan dia dengan aktiviti-aktiviti keganasan, tiba-tiba dia dibebaskan oleh lembaga pengampunan?...Nampak tak tuan-tuan macamana rakyat ditipu lagi. Kita lihat saja kes Anwar Ibrahim. Dari dulu dia punya minta untuk diikat jamin, tapi sampai sekarang cubaan beliau itu dinafikan. Kalau betoi sekalipun dia melakukan liwat, tapi pasai apa kes-kes liwat yang lain boleh diberikan ikat-jamin, tapi dia tidak?...Begitu juga, kalau betoi dia melakukan rasuah sekalipun, tapi kenapa orang lain yang melakukan rasuah dibenarkan diikat-jamin, beliau tak boleh?...Yang inilah yang sepatutnya menjadi satu kehairanan untuk kita sebagai rakyat untuk berhak mengetahui. Ini penting tuan-tuan. Sebab itu, kita yang mengaji ni, perlu melihat sebarang polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan, mengikut perspektif agama, bukannya mengikut nafsu kepentingan peribadi sendiri. ]   

       

2) Orang yang wajib dikenakan hukuman qisas adalah tertakluk di bawah kesalahan-kesalahan berikut:

i)                    Orang yang membunuh manusia dengan sengaja.

 

[ Ingat tak peristiwa perempuan Yahudi bernama Zainab memberi daging kambing beracun kepada Nabi saw?...Selain Nabi, ada sorang lagi sahabat yang makan daging beracun tersebut, iaitulah Bashar bin Barra`. Bashar makan, dia telan terus. Tapi Nabi makan, kunyah-kunyah, bila nak telan saja tiba-tiba turun Saidina Jibril as bagitau kat Nabi bahwa daging tersebut ada racun. Nabi saw pun luah daging tu. Kemudian bila Nabi tengok Bashar mati akibat daging beracun tadi, maka Nabi saw menghantar utusan berjumpa dengan Zainab perempuan yahudi itu untuk mendapat clarification; adakah benar dia bubuh racun dalam daging kambing itu untuk dimakan oleh Rasulullah dan Bashar?...Ia diakui oleh Zainab sebab dia ingin mengetahui samada Nabi Muhammad benar-benar seorang rasul Allah ataupun tidak. Bila dia tahu Nabi saw masih hidup, maka tahulah dia bahwa Nabi Muhammad benar-benar seorang rasul Allah. Sebab dia kata, "Kalau Muhammad itu bukan rasul, pasti dia akan menerima nasib yang sama seperti Bashar. Sebab tidak akan ada siapa pun yang bagitau kat dia bahwa daging itu beracun. Tapi sebab dia rasul maka ada malaikat yang turun memberitahunya."...Akibat daripada pengakuan Zainab si yahudi ini maka Rasulullah saw memerintahkan supaya Zainab dikenakan hukuman qisas. Dan sepertimana kita semua sedia maklum, bahwa setahun setengah selepas kejadian itu, Nabi saw juga akhirnya wafat akibat effect daripada racun yang dibubuh itu. Ini disebut dengan jelas dalam kitab ar-Raheeq al-makhtum. Maknanya, bukan saja para sahabat seperti Saidina Umar al-Khatab, Saidina Osman bin Affan, Saidina Ali karramallahu wajhah, dan pemimpin-pemimpin besar Islam yang lain mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam, malah Nabi saw sendiri juga antara mangsa yang dibunuh oleh musuh-musuh Islam.

Daripada kisah di atas, kita boleh lihat satu contoh di zaman Nabi saw bagaimana dilaksanakan hukuman qisas ke atas orang yang melakukan pembunuhan. Walaupun dengan menggunakan racun, qisas tetap dilaksanakan. ]               

 

ii)                  Orang yang menghilangkan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.

iii)                Orang yang melukakan atau mencederakan anggota badan orang lain dengan sengaja.

 

[ Perlaksanaan hukuman qisas ni tuan-tuan, sebenarnya dilaksanakan setakat mana mampu dilakukan. Maksudnya macam ni. Kalau kecederaan yang dilakukan oleh pesalah itu boleh dibalas dengan kadar kecederaan yang sama, maka wajib dilaksanakan hukuman qisas. Itupun kalau dituntut oleh mangsa. Contohnya pada zaman Nabi saw, ada seorang perempuan yang mengisytihar masuk Islam tiba-tiba dihimpit kepalanya oleh yahudi dengan menggunakan dua ketul batu yang besar. Jadi apabila aduan ini dibuat kepada Rasulullah saw, maka Rasulullah memerintahkan supaya yahudi itu juga dihukum dengan menghimpitkan kepalanya dengan batu yang besar sepertimana yang dilakukannya kepada perempuan tersebut. Ini antara contoh bagaimana perlaksanaan hukuman qisas, ie setakat mana yang boleh diberikan keadilan, maka keadilan wajib diberikan.

Tetapi kalau bentuk luka tersebut sukar untuk disamakan, maka tidak boleh dilaksanakan hukuman qisas. Ianya digantikan dengan diyat. Contohnya macam ni. Katalah pesalah itu tikam mangsa dia tepat pada dada dan kena pada jantung. Bila kena pada jantung, mangsa tikaman itu agak kritikal, dalam keadaan hampir-hampir maut. Tetapi dengan izin Allah atas usaha doktor perubatan, tiba-tiba mangsa tersebut berjaya diselamatkan. Jadi dalam keadaan ini, adakah boleh kita tikam balas kepada pesalah pada jantung dia?...Jawapannya, tak boleh tuan-tuan. Sebab tikaman pada jantung mempunyai chances yang amat besar boleh membawa kepada maut. Kita bimbang jika kita tikam balas juga pada jantungnya, kemudian pesalah itu maut akibat tikaman tersebut, maka ini sudah berlaku kezaliman ke atas pesalah tersebut. Sebab mangsa tak mati, sedangkan pesalah mati. Ini zalim. Walaupun dia seorang penjinayah yang melakukan dosa besar, tetapi dia berhak mendapat keadilan. Ini dia Islam tuan-tuan. ]        

 

Perkara 100: Hukuman orang yang melakukan pembunuhan.

Mengikut peruntukkan yang disebutkan dalam qanun jinayah syar`iyah, mereka yang melakukan pembunuhan wajib dikenakan ke atasnya hukuman qisas, iaitu pembunuh tadi dibalas dengan hukuman bunuh. Hukuman ini adalah berlandaskan firman-firman Allah Taala berikut:

a) Firman Allah Taala yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang yang mati dibunuh. (Surah al-Baqarah: 178)

 

[ Ayat di atas ini cukup clear tuan-tuan. Walaupun digunakan feel majhul yang ditiadakan fael nya (Pesuruhnya) pada perkataan kutiba (diwajibkan) itu, tapi siapa yang mengaji bahasa Arab, depa tahu bahwa yang mewajibkan hukuman qisas itu ialah Allah swt. Maknanya dalam kes pembunuhan, Allah lah yang mewajibkan kepada kita untuk melaksanakan undang-undang qisas. Tapi kita tak taulah atas alasan apa lagi bagi golongan penggubal undang-undang di Parlimen itu yang masih tidak mahu melaksanakan undang-undang qisas di M`sia sampai ke hari ini?...Puak-puak legislature ni bagi macam-macam alasan walaupun kita minta depa gubal untuk orang Islam sahaja. Inilah dia crisis kepercayaan manusia yang tidak yakin kepada undang-undang Allah walaupun clear Allah sebut dalam ayat di atas. ]   

 

b) Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan kehidupan bagi kamu wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 179)

 

[ Okay dalam ayat ini pula, Allah sendiri dah bagi gerenti akan jaminan berupa keamanan dalam kehidupan sekiranya kita melaksanakan undang-undang qisas. Jadi, apa lagi pihak penggubal itu tunggu?...Sehinggakan kita tertanya-tanya; adakah mereka para penggubal itu masih beriman kepada Allah swt?...Kalau mereka beriman, tapi kenapa mereka ignore akan perintah daripada Allah swt ini?...Boleh ustaz-ustaz pro-umno/bn buat clarification tentang hal ini? ] 

 

Perkara 101: Jenis-jenis pembunuhan.

Dalam undang-undang jinayah syar`iyah, pembunuhan terbahagi kepada tiga jenis:

1)       Pembunuhan dengan sengaja (qatlul amdi).

2)      Pembunuhan yang serupa dengan sengaja (qatlul syabhil `amdi).

3)      Pembunuhan yang tidak sengaja (qatlul khata`)

 

Perkara 102: Pembunuhan dengan sengaja.

Ialah seseorang dengan sengaja melakukan pembunuhan ke atas orang lain secara kejam dengan menggunakan suatu alat yang biasanya boleh mematikan. Misalnya dengan menggunakan pisau, parang, pedang, pistol, senapang, panah atau lain-lainnya dari apa sahaja senjata tajam, atau dengan sesuatu benda atau perbuatan yang boleh menyebabkab kematian seperti dihimpitnya dengan batu besar, dicampakkan ke dalam lautan yang luas, atau dihumbankannya ke dalam api yang sedang menyala besar atau lain-lainnya yang biasanya benda atau perbuatan itu boleh mematikan.

 

[ Bila sebut kes pembunuhan ni tuan-tuan; pada kebiasaannya menurut ust Jailani (yang juga seorang peguam), serangan yang dilakukan itu mesti ada sebabnya. Ini kita sebut secara umum. Orang tak akan serang kita tanpa sebab. Ada ka tetiba saja orang mai ngan senapang, tembak kita tanpa sebab?...Ada tu ada, tapi jarang berlaku. Kebiasaannya berlaku, mesti ada sebab. Oleh sebab itu, dalam kehidupan seharian kita; make sure kita tak buat aniaya kat orang lain, jangan buat zalim, jangan sekali-kali menipu, jangan jadi perosak anak dara orang, jangan kacau bini orang. Pendekatanya, jangan sekali-kali kita buat hal-hal yang membolehkan orang benci. Orang-orang yang suka buat perangai macam ni, kita nasihatkan, "Baik hangpa rentikan la!"...Bukannya apa tuan-tuan; kita takut satgi bertemu buku dengan ruas. Itu saja. Kalau dah berani tidoq dengan bini orang, maknanya you suppose to be berani juga berdepan dengan hujung senapang suami dia. ]    

 

Perkara 103: Pembunuhan yang serupa dengan sengaja.

1)       Ialah seseorang yang melakukan pembunuhan ke atas orang lain dengan sengaja juga dengan menggunakan suatu alat yang biasanya tidak boleh mematikan. Misalnya dipukulnya dengan batu ringan, atau dengan tongkat yang kecil, atau ditumbuknya dengan tangannya tidak berturut-turut.

 

[ Walaupun perbuatan itu dilakukan dengan sengaja, tapi pada lazimnya, ia tidak boleh mematikan. Tapi tiba-tiba si mangsa mati. Contohnya, orang itu hanya dipukul dengan rotan yang kecil saja. Pada adatnya, ianya tidak akan mematikan. Tapi tiba-tiba orang itu mati. Inilah yang dipanggil membunuh separuh sengaja. ]

 

2)      Dalam kes yang disebutkan dalam ceraian (1) pembunuh itu tidak boleh dikenakan hukuman qisas (dibalas dengan bunuh) malah pembunuh itu hanya boeh dikenakan hukuman Diyat Mughallazah (diyat yang berat) sebagaimana yang diperuntukkan dalam perkara 134 (1) perenggan (a) (b) dan (c).

 

 

  

conceptm5.jpg