Make your own free website on Tripod.com

Bah 1 - Bab 2 - Hudud - Fasal 7 - Bughat - Per 94 - 97

FASAL 7.

BUGHAT

[ Bila sebut bughat teringat ana dengan isu yang berlaku pada undang-udang hudud negeri Kelantan dan Terengganu. Isu ini dibangkitkan sebab hudud negeri Kelantan ada 7 (salah satunya adalah bughat), manakala hudud negeri Terengganu pula ada 6 (sebab tidak termasuk bughat). Bila jadi macam ni, lalu riuh rendah satu M`sia.

Okay sekarang mari kita tengok sebab apa boleh jadi tak sama antara hudud Kelantan dan Terengganu. Ini disebabkan bughat adalah salah satu kesalahan hudud yang mempunyai paling banyak perbezaan pendapat para ulama`. Banyak pendapat yang berselisih untuk menentukan samada bughat ini salah satu daripada kesalahan hudud ataupun tidak. Jadi kerajaan negeri Kelantan pegang pendapat yang mengatakan bughat adalah salah satu daripada kesalahan hudud. Manakala kerajaan negeri Terengganu pula, setelah mengambil kira pandangan-pandangan para ulama` termasuklah yang pro-kerajaan pun; maka kerajaan Pas Terengganu mengambil kira juga pandangan mereka, lalu digugurkan bughat daripada salah satu undang-undang hudud.

Jadi pada kali ini kita akan membicarakan salah satu daripada kesalahan hudud yang paling goyah kerana ramai para ulama` tidak bersetuju bughat sebagai kesalahan hudud. Tetapi dalam kitab "Qanun Jinayah Syar`iyah" tulisan Hj Sa`id Hj Ibrahim (bekas mufti negeri Sabah) yang menjadi rujukan kita ini, dia memasukkan bughat sebagai salah satu daripada kesalahan hudud. ]

Perkara 94: Bughat.

1) Bughat mengikut istilah syara` ialah segolongan umat Islam yang melawan dan mendurhaka kepada Ulil Amri (Imam), iaitu pemerintah/kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syari`at Islam. (Kifayah al-Akhyaar: 2/122)

2) Bughat mengikut istilah ilmu tata negara ialah perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan mendurhaka kepada Ulil Amri adalah dinamakan "Jarimah siasah", iaitu suatu kesalahan dalam politik.

[ Ada dua definasi diberikan kepada kita. Yang pertama adalah definasi dari segi istilah syara` dan yang keduanya adalah definasi dari segi ilmu tata negara. Kata kuncinya ialah hal pendurhakaan atau pemberontakan daripada satu golongan yang dipanggil rakyat terhadap satu golongan yang kita panggil sebagai penguasa atau kerajaan ataupun Imam. Ini dia gambaran awal secara ringkas. Antara syarat yang dikatakan rakyat pendurhaka itu, ialah rakyat yang mempunyai keupayaan untuk menimbulkan huru hara bagi menghancurkan negara. Maknanya golongan rakyat tersebut mestilah satu organisasi yang kuat persenjataannya. Kalau kita tak puashati dengan polisi kerajaan, lalu kita naik pentas-pentas ceramah untuk menyatakan ketidak-puasan hati kita, maka itu tidak dikira sebagai bughat.

Manakala di pihak kerajaan pula, hendaklah sebuah kerajaan yang adil. Maksud kerajaan yang adil dalam definasi yang dinyatakan dalam kitab kita ini ialah kerajaan yang menjalankan hukum-hukum syari`at Islam. Jadi kalau rakyat bangkit memberontak terhadap kerajaan yang tidak berhukum dengan syari`at Islam, maka itu tidak dinamakan sebagai bughat. ]

Perkara 95: Kesalahan dalam politik (jarimah siasah).

Jarimah siasah (jenayah politik) tidak boleh dianggap sebagai suatu kesalahan dalam politik, kecuali jika tindakan mereka itu cukup syarat-syarat berikut:

i) Pemberontakan dan penentangan mereka itu bertujuan untuk menggulingkan ketua negara (Ra`sud daulah) atau tidak mahu lagi mematuhi pemerintahannya.

[ Yang dimaksud "ketua negara" disini ialah orang yang menjawat jawatan yang paling berkuasa dalam sebuah daulah. Kalau di M`sia ni, jawatan itu ialah Perdana Menteri. Tapi di Indonesia bukan Perdana Menteri, tapi Presiden yang paling berkuasa. ]

ii) Didapati sebab-sebab mereka memberontak dan menentang dasar pemerintah/kerajaan, sekali pun sebab-sebab yang mereka kemukakan itu merupakan sebab yang paling lemah.

iii) Pendurhaka dan pemberontak itu telah mempunyai kekuatan dengan adanya ketua kumpulan itu dari orang yang mereka taati untuk mengatur dan menyusun pendurhakaan dan pemberontakan yang akan mereka lancarkan.

iv) Telah berlaku pendurhakaan dan pemberontakan yang merupakan perang saudara dalam negara, selepas mereka itu mengadakan persiapan senjata dan pertahanan - at-Tasysi` al-Jina`ie Islami (Sheikh Abdul Kadir Audah).

[ Dengan adanya keempat-empat syarat ini, baru boleh kita kata bughat. ]

Perkara 96: Pendurhakaan yang wajib diperangi.

Dalam sesebuah negara yang berdasarkan hukuman-hukuman Islam, pendurhakaan yang wajib diperangi adalah tertakluk di bawah syarat-syarat berikut:

i) Mereka yang telah mempunyai kekuatan dan yang telah berterus terang secara terbuka menentang pemerintah/kerajaan (Imam yang adil).

[ Kalau lawan dengan cara undi, itu tak dikira sebagai bughat. Jadi tuan-tuan jangan takut nak masuk parti politik mana pun. Kalau tuan-tuan suka KeADILan, masuk pi lah. Kalau tuan-tuan suka DAP, masuk pi lah. Bukannya apa tuan-tuan; kita mencelah ni pun sebab bahang pilihanraya semakin terasa dah ni. So cara mengundi ni bukannya bughat. Bughat ialah penentangan berterus terang secara persenjataan terhadap sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Imam yang menjalankan hukum-hukum Allah swt.

Bila sebut "Imam" ni tuan-tuan; teringat ana dalam tv hari tu tunjuk program yang membincangkan isu tentang "Kepimpinan negara: antara ulamak ataupun sekular". Depa panggillah beberapa pimpinan mahasiswa univ untuk membicarakan hal ini. Tapi yang menariknya, pengerusi forum itu dalam ulasannya, dia kata, "Dalam negara kita ini, mana ada pemimpin yang bermusuh dengan Allah swt. Semua orang patuh pada perintah Allah."...Terkedu ana sejenak dengar dia sebut camtu. Tertanya-tanya juga ana, "Bila masa pula semua orang ikut perintah Allah ni?"...Bukan ka sejak akhir-akhir ini hangat berita pasai menteri makan rasuah?...Bila kita dakwa seorang menteri itu rasuah, bermakna kita mengsyaki menteri tersebut telah melanggar hukum Allah, betoi tak?...Bermakna menteri yang makan rasuah itu adalah musuh Allah. Kalau tuan-tuan buka kitab Sahih Muslim dalam bab Khalifah, tuan-tuan akan dapati begitu banyak hadith yang menceritakan apa yang berlaku pada hari akhirat terhadap pemimpin yang menipu rakyatnya. Inilah ciri-ciri pemimpin yang menjadi musuh Allah swt seperti yang disebut oleh Nabi saw.

Tapi yang peliknya, kes rasuah menteri tersebut akan dibicarakan pada bulan 8. Pasai apa lambat sangat?...La ni baru bulan 2. Lagi 6 bulan tuan-tuan. Lalu ada sahabat tanya kat ust Jailani, "Boleh tak high profile kes macam ni dipercepatkan perbicaraan?"...Ust jawab, "Kalau betul-betul mahu dipercepatkan, boleh, takdak masalah."...Contohnya, seperti kes Canny Ong. Tak sampai setahun berlakunya peristiwa pembunuhan tersebut. Baru lagi. Tapi kesnya telah dibicarakan dengan begitu segera padahal banyak lagi kes-kes lain yang lagi lama tidak dibicarakan; kenapa jadi macam tu?...Sebabnya ialah kes Canny Ong diutamakan berbanding dengan kes-kes yang lain kerana kes Canny Ong menarik perhatian seluruh negara. Jadi begitulah juga kes rasuah menteri tersebut. Ianya boleh disegerakan. Tapi alasan yang diberi ialah mahkamah sesyen sekarang ni mempunyai kes-kes tertangguh dengan begitu banyak. Nampak tak tuan-tuan depa nak tipu rakyat?...Depa ingat kita tak reti kot pasai proceeding mahkamah. Kalau betul mahkamah sesyen penuh sekalipun, sepatutnya high profile kes mesti diutamakan. Okay kalau depa kata, "Tak boleh juga sebab semua mahkamah sesyen penuh dengan high profile kes yang lain."; maka kita boleh bawa kes tersebut dibicarakan di mahkamah tinggi sebab mahkamah tinggi ada bidang kuasa untuk mendengar kes-kes yang dibicarakan di mahkamah sesyen. Nampak tak tuan-tuan macamana depa nak tipu rakyat?...Sebab itu, bila berlaku penangguhan kes macam ni; ada pandangan mengatakan bahwa penangguhan tersebut semata-mata kerana tujuan untuk berhadapan dengan pilihanraya tak lama lagi.

Okay bila dok sembang pasai rasuah ni; mai kita tengok sat kes Eric Chia. Dia dituduh kerana membabitkan kes rasuah yang melibatkan angka sebanyak RM76.4 juta. Sementara kerugian yang melanda kepada Perwaja pula ialah RM2.6 billion. Jadi untuk mendakwa seseorang yang melibatkan penyelewengan sebanyak angka-angka sebesar ini; tuan-tuan ingat Eric Chia sorang ka yang buat benda tu?...Bukankah dalam satu syarikat itu, mesti ada CEO nya, mesti ada Managing Directornya, mesti ada Board of Directors nya?...Semuanya ini saling kait mengait antara satu sama lain. Siapa yang keluarkan vouchers?...Siapa yang keluarkan invoice?...Siapa yang bagi approval transaction yang melibatkan pengaliran keluar wang sebanyak RM76.4 juta daripada satu syarikat di M`sia, bagi kepada satu account di luar negara?...Adakah semuanya ini hanya dibuat oleh seorang Pengarah Urusan yang bernama Eric Chia?...Tak mungkin tuan-tuan. Ini mesti kerja beberapa orang lagi. Tapi kenapa Eric Chia sorang sahaja yang didakwa?...Mana pi beberapa orang lagi tu?...Ini yang perlu kita persoalkan...Ya, ana tahu memang semua orang seronok bila dengar Eric Chia ditangkap. Tapi kita sebagai orang yang mengaku Islam, wajib bagi kita memberi keadilan kepada beliau. Allah sebut dalam Suratul Maidah:42, "...kamu wajib menghukum di antara mereka (yahudi) dengan penuh keadilan. Sesungguhnya Allah kasih kepada golongan yang menegakkan keadilan."...Ayat ini turun berdasarkan satu kisah antara orang yahudi dengan Rasulullah saw. Kita boleh tengok macamana dalam ayat ini Allah suruh Nabi saw berhukum secara adil walaupun ke atas orang yahudi. Sapa tak kenai yang kata puak yahudi ni tuan-tuan?...Tidak ada puak yang paling besar kekufuran di atas dunia ini melainkan puak yahudi ni lah. Walaupun mereka adalah musuh paling besar kepada umat Islam, namun begitu Allah tetap mewajibkan kepada Nabi memberi keadilan kepada mereka. Sama lah juga dengan keadaan kita hari ini. Walaupun kita benci macamana sekalipun kepada Eric Chia, kita tetap diwajibkan memberi keadilan kepadanya. Jadi, antara bentuk keadilan yang mesti kita bagi kepadanya ialah kita tidak boleh dakwa dia seorang. Sepatutnya kita kena dakwa semua orang yang terlibat. Itu baru betoi.

Masa Eric Chia kena tangkap hari tu, kalau sapa baca Nst, ada satu kenyataan yang dibuat oleh Eric Chia menyatakan bahwa dia akan mendedahkan segala-galanya dalam mahkamah. Ini satu statement yang cukup berani, tuan-tuan. Tak tau lah dengan akhbar-akhbar yang lain; ada atau tidak mereka menyiarkan kenyataan berani Eric Chia itu?...Tapi kalau tuan-tuan baca Nst, tuan-tuan akan jumpa dengan kenyataan tersebut. Jadi sekarang terpulanglah kepada kita yang mendakwa sebagai kerajaan Islam ini, kalau kita benar-benar beriman kepada Allah swt, maka semua orang yang ada bukti bersekongkol dengan Eric Chia, wajib bagi kita mendakwa kesemua mereka. Tak kiralah, kalau bekas PM sekalipun, sekiranya didapati dia juga turut terbabit, maka dengan dia-dia sekali patut didakwa. Ini dia keadilan dalam Islam, tuan-tuan. Takdak pilih bulu punya. Walaupun hang kawan baik aku, walaupun hanglah orang yang bagi takhta kat aku; tapi kalau hang terbukti bersekongkol sekali dengan Eric Chia, dengan hang-hang sekali akan didakwa. Ini baru betoi pemimpin negara Islam. Kita harap-harap pun begitulah.

Berbalik kita pada isu nak pilih kepimpinan negara tadi. Sebenarnya bukan hanya dalam politik sahaja, tetapi dalam segala hal pun; samada nak bina rumahtangga, nak bina masyarakat, pembentukan pendidikan dan sebagainya; benda yang paling penting yang mesti diberi penekanan ialah soal agama. Sapa yang nak kahwin tu; kalau dipilihnya calon isteri yang cantik daripada yang beragama, tunggulah, tak lama tuan-tuan. Sebab benda seronok ni sekejap je. Selepas tu, tangungjawab belaka. Begitulah juga dalam hal kepimpinan; kalau kita pilih pemimpin yang korup, tunggulah, habis licin wang rakyat akan disonglapnya. ]

ii) Mereka yang telah keluar dari tadbiran Ulil Amri, dan telah membentuk pemerintah/kerajaan yang lain dan telah melantik seorang Imam yang lain pula.

[ Ciri kedua bughat yang wajib diperangi ialah mereka memisahkan wilayah kuasaan mereka. Sebab itu, kita lihat Kelantan dan Terengganu yang diperintah Pas tidak memisahkan diri daripada M`sia. Kelantan dan Terengganu tetap di dalam M`sia, untuk menjadi contoh kepada masyarakat bagi menunjukkan bagaimana bentuk pemerintahan di bawah seorang Islam yang tunduk dan taat kepada perintah Allah swt. Ini berbeza dengan golongan yang tidak taat kepada perintah Allah. Cuba kita tengok isu pembangunan yang dimainkan umno/bn di Kelantan. Inilah satu-satunya modal yang dimainkan umno/bn di Kelantan setiap kali menjelang pilihanraya. Seolah-olahnya takdak modal lain dah...Ya, memang kita akui kalau sesuatu projek itu membawa manafaat kepada rakyat, ia amat dialu-alukan. Contohnya macam Penang bridge. Walaupun dianya projek mega, tapi kita dapati dia membawa banyak manafaat. Urusan antara mainland dengan penang island menjadi mudah. Tapi yang paling pentingnya; ana boleh pi mengaji kat masjid Batu (masjid yang popular sekali di M`sia sekarang ni....heheh). Kemudian sekarang ni, kita dengar ura-ura, depa nak buat satu lagi jambatan. Takpa, buat pilah. Kalau ianya dirancang dan dilakukan dengan cara yang betul, maka ianya tidak bersalahan dengan ajaran Islam. Malah ianya alu-alukan lagi. Tapi yang kita tak mau dengaq ialah kos projek tu yang sepatutnya RM100 juta, tiba-tiba diwartakan jadi RM400 juta sebab belen RM300 juta tu untuk habuan masing-masing yang terlibat dalam projek tersebut. Ini yang Islam tak mau tu, tuan-tuan. Kalau tuan-tuan buka kitab Sahih Imam Muslim, dalam bab Khalifah juga, ada satu hadith yang panjang menceritakan bagaimana setiap harta yang kita ambil secara songlap, akan kita pikul di hari akhirat kelak...nauzubillah. Dalam hadith tu Nabi kata kalau seekor kuda kita terima dengan cara songlap daripada duit rakyat, maka kuda itulah yang akan kita pikul di Padang Mahsyar kelak, tunjuk di depan Allah swt bahwa inilah harta yang diharamkan oleh Allah yang kita makan selama ini. Maknanya, hari ini kalau tuan-tuan dapat rumah bungalow hasil songlap (penyelewengan) daripada duit rakyat, maka rumah bunglow yang besar itulah yang tuan-tuan akan pikul di depan Allah swt kelak...Inilah amaran daripada Nabi saw kepada kita semua.

Okay tuan-tuan, bila kita sebut bab Ulil Amri ni; mau tak mau politik kena sentuh juga. Sana sini sekarang orang hangat berceritakan perkembangan politik, baik dalam negara kita maupun luar negara. Di US sekarang ni hangat kempen pilihanraya presiden sedang dijalankan. Mampukah George W Bush dari parti Republican mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden Amerika Syarikat?..Sama-sama kita lihat nanti. Tapi sekarang ni seorang pencabarnya iaitu Senator John Kerry dari parti Democrat, sedang mendahului kepopulariti George W Bush. Tapi dalam popular tu pun, ada juga isu dimainkan; iaitu heboh hubungan sulit antara John Kerry dan Alex Polier. Isu ini agak menarik juga tuan-tuan. Sebab apa menarik?...Sebab ana rasa budaya hubungan sulit dalam masyakarat Amerika bukan suatu yang pelik. Sex bebas ni bagi depa kira perkara biasa la sebab perzinaan di Amerika bukan satu kesalahan. Tapi yang peliknya, kenapa tiba-tiba saja hubungan sulit antara John Kerry dengan Alex Polier mendapat perhatian; sedangkan budaya itu disebut sebagai satu perkara biasa bagi masyarakat Amerika?...Rupa-rupanya tuan-tuan, budaya orang Amerika ini, mereka tak boleh terima kalau Presiden depa melakukan perzinaan. Depa berzina, takpa. Tapi Presiden berzina, tak boleh. Ini dia perangai orang Amerika, tuan-tuan. Sehingga diberitahu bahwa John Kerry mungkin menghadapi kemerosotan sokongan daripada parti Democratnya sendiri sekiranya proven benar hubungan tersebut...Tu dia aih!...Parti dia sendiri akan jatuhkan dia. Kalau kita, boleh ka macam tu?...Tarak pasai!...Pemimpin kita ada hubungan sulit banyak mana ka, dia mentahkedarah rasuah banyak mana ka; tetap rakyat pilih dia jugak. Itu mentaliti orang kita. Sebab itu, no wonder lah kita boleh tengok negara-negara luar ini mudah boleh menjadi sebuah negara maju. Sebab apa?..Sebab kalau pemimpin mereka korup, takyah tunggu orang lain mai pebetoi, malah mereka sendiri akan menjatuhkan pemimpin tersebut. ]

iii) Terdapat pada mereka kekeliruan faham, di mana mereka menganggap bahwa mereka boleh keluar dari kawalan dan tadbiran Imam.

iv) Setelah diajak berunding dengan bijaksana sebagaimana yang telah dilakukan oleh Khalifah Ali terhadap Ahli Jamal dan kaum Khawarij.

[ Maknanya pemerintah kena ajak pihak pemberontak ke meja perundingan dulu. Tak boleh terus je perang begitu saja. ]

v) Mereka telah mengadakan kekacauan dalam negeri, seperti membakar, membunuh dan sebagainya.

[ Maknanya selagi tidak berlaku keadaan kritikal seperti huru hara umpamanya, maka selagi itu tidak wajib diperangi golongan bughat ini. Kalau boleh solve melalui perundingan, itu lebih baik. ]

Perkara 97: Orang yang menentang dan mendurhaka terhadap Imam yang adil.

1) Orang-orang Islam yang menentang dan mendurhaka terhadap Imam yang adil dan keluar daripada pemerintahannya wajib diperangi sehingga mereka itu kembali kepada pemerintahan Imam itu serta taat setia kepadanya.

2) Tindakan sebagaimana yang disebutkan dalam ceraian (1) telah dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar (Khalifah Islam yang pertama) yang telah memerangi mereka yang enggan membayar zakat.

[ Kalaulah ditakdirkan satu hari nanti kita mempunyai kerajaan Islam yang adil; masa tu kalau berlaku bughat (ada golongan yang mengangkat senjata), maka kerajaan Islam yang adil mesti menentang mereka sehingga dapat mengalahkan mereka. Ini bukan cerita lawan hangat-hangat taik ayam tuan-tuan. Bukan lawan sikit-sikit punya cerita ni. Kena lawan sampai kerajaan Islam dapat kalahkan golongan pemberontak tersebut supaya mereka kembali taat kepada kerajaan Islam yang adil. Tidak boleh dibiarkan golongan pendurhaka seperti ini menjadi subur di dalam sebuah kerajaan Islam. Organisasi mereka hendaklah dihapuskan dalam ertikata mempastikan mereka taat kembali di bawah kerajaan Islam yang adil. ]

3) Orang-orang Islam yang menentang dan mendurhaka kepada Imam yang adil tidak terkeluar dari agama Islam (tidak boleh dihukumkan orang yang murtad), malah mereka itu masih tetap dalam agama Islam.

[ Maknanya, cara menentang bughat bukan seperti kita menangani masalah murtad. Kerajaan Islam yang adil lawan bughat, bukan untuk bunuh mereka. Tetapi kalau terpaksa dalam keadaan tertentu, maka pembunuhan itu dibenarkan. Contohnya, kita lihat bagaimana rintihan Saidatina Aisyah radiallahuanha ketika dia keluar menentang Saidina Ali kw. Maknanya, dia sendiri tidak redha pembunuhan yang berlaku. Begitulah juga Saidina Ali kw pun. Dia juga tak redha pembunuhan dalam peperangan tersebut. Tetapi apabila dalam keadaan bertembungnya antara tentera Ali kw dengan pasukan Saidatina Aisyah, maka para ulama` berkata bahwa peristiwa ini berlaku akibat daripada ijtihad masing-masing. Maknanya mereka keluar dengan alasan yang benar di pihak masing-masing. Maka berlakulah pembunuhan yang mana menyedihkan dalam episod sejarah umat Islam seluruh dunia.

Berbalik kepada masalah bughat. Perbezaan antara menentang bughat dan menentang murtad ialah kita tangkap orang murtad sebab memang kita nak bunuh dia, kecualilah dia sempat bertaubat. Tetapi golongan bughat, tidak dibenarkan kita membunuh mereka kecuali dalam keadaan terdesak. Ini perbezaan antara keduanya. ]

4) Allah swt masih mensifatkan pendurhaka-pendurhaka itu sebagai orang yang beriman, walaupun mereka itu boleh diperangi. Firman Allah Ta`ala yang bermaksud, "Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah pihak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah) serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (Surah al-Hujurat:9)

[ Inilah dalil bahwa golongan bughat itu masih dianggap golongan mukmin. Bukan golongan yang terbatal syahadah. Orang yang terbatal syahadah memang dihukum mati, tetapi tidak pada golongan bughat. Kita perangi golongan bughat hanya untuk menundukkan mereka supaya kembali taat kepada pemerintahan Islam yang adil. Itu sahaja. Kalau mereka kembali taat, maka time tu juga perang tamat. ]

Wallahu ta`ala `alam.

kiakcv-iiib.jpg