Make your own free website on Tripod.com


Bah 1 - Bab 2 - Hudud - Fasal 4 - Sariqah - Per 70 - 71

Perkara 70: Mencuri harta ibubapa atau sebaliknya.

Seseorang anak yang mencuri harta atau barangan ibubapanya hingga ke atas (datuk dan seterusnya) atau ibubapa mencuri harta atau barangan anaknya hingga ke bawah (cucu dan seterusnya) tidak boleh dikenakan hukuman hudud, kerana didapati kesamaran tentang hak milik di antara kedua belah pihak. Kes ini adalah merujuk hadith Rasulullah saw yang bermaksud: Engkau dan harta engkau adalah kepunyaan bapa engkau. (Ibn Qudamah: al-Mughni 10/284)

[ Berdasarkan daripada hadith di atas, para ulama` telah membuat satu rumusan bahwa kalau seorang bapa curi harta anak dia, atau seorang ibu curi harta anaknya, atau seorang datuk curi harta cucunya, atau seorang moyang curi harta cicitnya, begitu juga sebaliknya, kalau anak curi harta ibubapanya, atau cucu curi harta datuk nenek dia; maka tidak boleh dikenakan hukuman hudud ke atas kesalahan macam ni kerana mereka saling milik memiliki antara satu sama lain.

Tapi hari ini kalau tuan-tuan buka paper, macam-macam cerita disiarkan yang boleh bagi kita pening kepala. Hari tu disiarkan macamana ada seorang anak boleh pi saman ibu dia sendiri pasai nak berebut harta peninggalan ayah dia. Institusi keluarga apa kalau macam ni tuan-tuan?...Depa tak rasa malu ka, satu M`sia punya dok baca pasai depa.

Ust Jailani sendiri kata dalam bulan lepas, ada satu kes yang dikendalikannya di mahkamah syariah Batu Gantung, P.Pinang. Kes itu berkenaan dengan sepasang datuk nenek saman anak menantunya sendiri sebab nak merebut cucu. Nampak tak tuan-tuan, tak pening ka lagu ni punya cerita?...Ust Jailani kata bila anak dan menantu tu mai jumpa dia, dia sanggup ambik kes tersebut sebab dilihatnya rumahtangga anak menantu tu elok saja, takdak masalah apa pun. Yang tak pasai-pasai datuk ngan nenek tu nak buat kacau pasai apa?...Ust kata hat peningnya, takdan masuk mahkamah lagi, tiba-tiba depa pi bergaduh kat luar mahkamah. Inilah adegan yang paling malu sebab pakat habih semua orang dok tengok depa bergaduh pulak. Itulah cerita datuk nenek dengan anak menantu pada zaman mutakhir ini.

Kemudian dalam 2 minggu selepas tu kalau tuan-tuan baca dalam paper, ada pula cerita tentang seorang wanita mempertikaikan mahkamah syariah kerana ada 2 keputusan perintah. Iaitu satu adalah perintah daripada mahkamah syariah negeri T`ganu dan satu lagi adalah perintah daripada mahkamah syariah negeri Kedah. Wanita tersebut tak puashati sebab dah dikeluarkan beberapa kali waran tangkap ke atas bekas suaminya tapi polis tak tangkap-tangkap juga, lalu dia takdak pilihan akhirnya dia pi jumpa pihak akhbar untuk disiarkan ceritanya, maka selepas itu kita lihat bagaimana kritikan demi kritikan telah dikenakan kepada mahkamah syariah. Yang ni saya tak berapa berkenan ni. Sebab tuan-tuan pun tahu kan, bagaimana tendency pihak-pihak tertentu hari ini kalau ada isu tentang bab-bab agama. Kalau ada berita tentang bab syariah, bab ulama`, bab-bab pejuang agama, berita-berita itu akan disensasikan. Okay berbalik kita kepada cerita wanita tadi (saya namakan "Puan x"). Sebenarnya peguam kepada bekas suami "puan x" itu adalah ust Jailani sendiri. Mengikut fakta kes, perceraian "puan x" dengan bekas suaminya itu adalah berpunca kerana "puan x" nak berkahwin dengan seorang lelaki lain. Ini dia fenomena yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Bila dia kenal seorang lelaki lain, menyebabkan dia rasa suami dan anaknya sudah tidak bernilai lagi. Bekas suami dia kata, "Kalau kamu nak bercerai daripada aku, boleh, takdak masalah. Tapi syaratnya, anak kita ni, aku yang jaga."...Orang pompuan tengah gila kat satu jantan, hang letak pi lah syarat apa pun, dia tak heran punya. Akhirnya dibuat satu agreement dan ditandatangani di hadapan seorang Qadi di Pejabat Qadi Alor Setar. Isi perjanjian itu ialah isteri minta cerai dan antara syarat persetujuan perceraian ialah hak jagaan anak perempuan mereka itu diserahkan pada si bapa. Dan kalau ikut hukum syara` pun memang lagu tu. Kalau bekas isteri berkahwin dengan satu orang lelaki yang bukan mahram kepada anak perempuan dia, maka hak jagaan anak perempuan itu mesti diberikan kepada si bapa.

Okay selepas tu mereka pun bercerai dan si perempuan tadi dapat berkahwin dengan lelaki idamannya tadi. Kemudian selang beberapa tahun, setelah saat-saat manis habih dah dikecapi, tiba-tiba "puan x" teringat balik kat anak dia. Di sinilah bermulanya pertembungan tadi. Lalu "puan x" mengfailkan kes di mahkamah syariah negeri T`ganu untuk mendapatkan kembali hak jagaan ke atas anak perempuannya yang sekarang ini dijaga oleh bekas suaminya. Kita percaya bila "puan x" buat aduan kat mahkamah syariah negeri T`ganu, dia pasti tidak menunjukkan surat perjanjian antara dia dan bekas suami dia ketika bercerai dulu...Okay bila aduan dibuat, maka mahkamah syariah negeri T`ganu pun mengeluarkan satu perintah sementara (interim order). Perintah ini boleh diketepikan sebab dia bukannya muktamad. Bila bekas suami dapat tahu, dia pun pi jumpa ust Jailani. Bila ust Jailani tengok hukum syara` menyebelahi bekas suami dan bekas suami itu pula anak tempatan negeri Kedah, maka tempat yang paling sesuai ialah pergi kepada mahkamah tinggi syariah Alor Setar dan minta satu perintah bahwa hak jagaan sementara diberi kepada si bapa. Sekarang bila ada dua perintah sementara, "puan x" pun pertikai. Dia pergi ke Ibupejabat Polis daerah Kulim dan minta pihak polis tolong dia ambik balik anak dia. Polis pun hantaq 2 buah kereta perondanya ke rumah bekas suami tersebut. Sebelum tu, ust Jailani dah pesan kepada anak guamnya bahwa dalam masalah hak jagaan anak, kalau polis mai dengan keretakebal sekalipun, jangan dok buka pintu sebab pihak polis tidak ada kuasa untuk campurtangan dalam masalah keluarga. Tapi orang kampung, biasalah, emak kepada anak guam ust, bila dia tengok 2 buah kereta peronda polis mai rumah dia, dia jadi takut. Dia terus saja buka pintu walaupun polis tak buat apa lagi. Bila diminta ikut ke balai, dia terus saja ikut walaupun sebelum ini ust dah pesan, jangan ikut. Ust pun bergegas ke IPD Kulim untuk berjumpa dengan "puan x". Bila berjumpa, "puan x" kata kat ust, "Mahkamah negeri T`ganu bagi hak jagaan sementara kat aku!"...Lalu kata ust, "Mai kejap saya nak tengok perintah tu."...Tengok-tengok, dalam perintah itu ada tertulis, "Perintah sementara ini diberikan kepada ibu sehingga ada perintah lain dibuat."...Lalu ust Jailani pun tunjuk kat "puan x" satu perintah lain, iaitu hat negeri Kedah punya. Apa lagi, melenting habih la si pompuan tu. Dia maki ust, lalu dia rampas dan bawa lari anak dia dengan Perdana V6 tanpa sempat disekat. Bila tengok keadaan lagu tu, anak guam ust tanya, "La ni macamana? Tak boleh ka buat roadblock?"...Ada ka nak suruh buat roadblock?...Ini bukan kes bunuh. Ini hanya kes mak bapak berebut hak jagaan anak. Polis takkan buat roadblock kes lagu ni. Ust kata, "La ni lagu ni. Kita buat macam dia juga. Dia kidnap anak kita. Kita kidnap anak dia balik."...Bila ust bagi idea lagu tu, satu hari, anak guam ust pi rampas balik anak dia dan dia tak bagi dah anak tu pada bekas isteri tu. Marah habih la "puan x". Tu yang keluar waran tangkap tu. Lalu ust kata kat anak guam dia, "Hang jangan takut. Waran tangkap kat negeri T`ganu tidak boleh dikuatkuasakan di negeri Kedah."...Pasai apa jadi lagu ni tuan-tuan?...Sapa yang buat undang-undang ni?...Sapa lagi kalau bukan orang putih penjajah zaman dulu. Depa buat state list, yang mana dalam soal sesuatu negeri, negeri lain tak boleh campurtangan. Bukan kata negeri lain tak boleh masuk campur, Pusat pun turut tak boleh masuk campur juga. Sebab tu sapa yang dikeluarkan waran tangkap di P.Pinang, mudah saja kalau dia nak lari. Dia boleh lari duduk kat Sungai Petani, kira selamat la dia sebab S.Petani dah dalam negeri Kedah. Waran tangkap yang dikeluarkan oleh P.Pinang tak boleh dikuatkuasakan dalam negeri Kedah. Ni saya dok ajaq orang buat jahat pula ni. Kalau betoi hangpa buat salah, jangan dok buat perangai lagu ni. Hangpa kena ingat, memang betoi hangpa boleh selamat di dunia, tapi kat akhirat hangpa tak selamat.

Nampak tak tuan-tuan macamana susahnya kalau tidak ada keseragaman undang-undang dalam negara kita. Sebab apa jadi lagu ni?...Sebab antara satu negeri dengan negeri yang lain, mereka berada di bawah kuasa raja. Orang putih penjajah ni, depa cukup pandai. Walaupun dalam hal agama depa bagi kat raja-raja, tapi hat depa bagi tu bukannya keseluruhan. Depa hanya bagi satu juzuk yang kecik saja, iaitu dalam hal undang-undang keluarga Islam sahaja. Undang-undang keluarga Islam inilah yang depa panggil sebagai agama dan antara raja-raja ni pulak depa diberi kuasa yang tersendiri. Nampak tak tuan-tuan, bila ini berlaku, kita akan nampak undang-undang syariah ini tidak seragam, tidak elok dan tidak teratur. Orang akan cakap, "Undang-undang syariah yang simple lagu ni pun depa tak boleh nak sepakat, inikan pula hudud!"...Nampak tak macamana halusnya strategi puak kuffar untuk merosakkan Islam.

Sebenarnya kita boleh selesaikan permasalahan undang-undang Islam ini sekiranya masing-masing ingat bahwa kita semua akan mati dan akan berhadapan dengan negeri akhirat. Di atas dunia ni memang betoi kita boleh menang. Kita boleh guna pelbagai cara temasuklah menipu untuk mengekalkan kuasa dan pangkat. Orang seperti ini, dia lupa bahwa ada satu lagi mahkamah di negero akhirat kelak. ]

Perkara 71: Mencuri harta isteri atau sebaliknya.

Seseorang suami yang mencuri harta atau barangan isterinya atau sebaliknya terdapat 3 pendapat:

1) Suami yang mencuri harta atau barangan isterinya atau sebaliknya boleh dikenakan hukuman hudud, kerana perhubungan di antara suami isteri dengan akad nikah adalah satu perjanjian bahwa suami itu akan memberi nafkah kepada isterinya, dan hubungan di antara suami isteri dengan sebab akad nikah itu tidak menggugurkan hukuman hudud ke atas suami yang mencuri harta atau barangan isterinya atau sebaliknya.

[ Pendapat yang pertama ini mengatakan bahwa sekiranya si suami mencuri harta isteri atau si isteri curi harta suami, maka wajib dikenakan hudud. Ini adalah kerana hubungan suami isteri tersebut hanyalah satu perjanjian pernikahan di antara mereka berdua, yang hanya menghalalkan aurat masing-masing tetapi tidak kepada hudud.

Pasai apa kitab ini cerita kat kita berbagai-bagai pendapat?...Sebab dengan adanya banyak pendapat, membolehkan fikiran kita lebih terbuka. Kita boleh differentiate pendapat mana yang kuat, pendapat mana yang dhoif, pendapat mana yang terkeluar daripada jamaah ahli sunnah dan sebagainya. Bila kita faham adanya perbezaan pendapat dikalangan para ulama` dalam Islam, maka takyah la lagi kita bergaduh dalam hal-hal furu`iyah. ]

2) Suami atau isteri yang mencuri harta atau barangan salah seorang daripadanya tidak boleh dikenakan hukuman hudud, kerana isteri itu adalah berhak mendapat nafkah daripada suaminya, dan suami itu pula berhak untuk menahan isterinya tetap tinggal di rumah (tidak boleh keluar dari rumahnya), dan suami itu juga berhak melarang isterinya membelanjakan hartanya.

[ Pendapat kedua ni pula kata, tak boleh kena hudud sebab kalau suami gagal bayar nafkah kepada isteri maka isteri boleh curi harta suami dia. Nafkah isteri telah menjadi kewajipan suami. Kalau isteri nak pakai baju kebarong, kosnya suami wajib bayaq. Kalau isteri sakit, ubatnya suami wajib bayaq. Kalau isteri nak makan nasi kandaq, yang wajib bayarnya ialah si suami. Cumanya zaman la ni, bila kedua-dua suami isteri bekerja, kebanyakannya masing-masing dah give n take. Boleh bertolak ansur, kalau suami bayaq ansuran kereta, isteri bayaq yuran sekolah anak. Kalau suami bayaq ansuran rumah, isteri bayaq bil api air. Makna kata kalau isteri redha, ini amat dialu-alukan. Tetapi kalau isteri tidak redha, tuan-tuan kena jual benda yang tak wajib bagi menanggung kos sara hidup termasuklah nafkah isteri. Para isteri jangan "naik tocang" pulak bila saya kata lagu ni. Saya bagitau benda betoi ni. Jadi, kalau isteri tidak benarkan duitnya digunakan, maka tuan-tuan tak boleh guna duit dia. Sebab tu masa dok bercinta dulu, kita kena tackle betoi-betoi. ]

3) Suami yang mencuri harta atau barangan kepunyaan dan hak milik isterinya boleh dikenakan hukuman hudud, kerana suami itu tidak mempunyai hak dalam harta atau barangan kepunyaan isterinya. Dalam kes ini isteri yang mencuri harta atau barangan kepunyaan suaminya tidak boleh dikenakan hukuman hudud, kerana isteri itu mempunyai hak milik harta atau barangan suaminya dengan nafkah yang wajib diterimanya daripada suaminya.

[ Pendapat ke3 ini menepati mazhab Syafie. Kalau suami mencuri harta isterinya, dia kena hukuman hudud. Tapi kalau isteri curi harta suaminya, tidak pula dikenakan hudud sebab isteri ada hak dalam harta suami. Tuan-tuan tak boleh kata, ini tak aci. Sebab memang Allah swt memerintah dan amanahkan isteri ini kepada para suami. Sebab itu kalau buat faraid, orang lelaki dapat bahagian yang lebih besaq daripada perempuan. Tapi walaupun lelaki dapat lebih, dia kena share bersama dengan orang di bawah tanggungannya. Perempuan walaupun dapat sikit, tapi dia tidak wajib untuk membelanjakan bahagiannya kepada ahli keluarga dia. Contohnya katalah kita ada mak ayah yang dah tua. Adik beradik kita pula ada 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan. Sapa antara adik beradik kita ni yang wajib jaga mak ayah dia?...2 orang lelaki tulah yang wajib jaga mak ayah depa, bukannya anak perempuan. Kalau mak ayah dalam keadaan susah sekalipun, kalau anak perempuan tak mau keluarkan duit, maka kita sebagai anak lelakilah yang terpaksa membantu. Inilah ketetapan hukum syara`. Sebab itulah orang perempuan tak boleh pertikai kalau faraid dia dapat sikit. Sebab dari segi tanggungjawab, orang lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih besaq. ]