Make your own free website on Tripod.com
Bah 1 - Bab 2 - Hudud - Fasal 5 - Hirabah - Per 82 - 83

About Me

31553_wallpaper110.jpg

Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Isu-isu Pemikiran Semasa

Dipetik daripada satu artikel dalam Majalah Far Eastern Economic Review yang bertajuk "Time to get tough", berkenaan dengan pengeboman yang berlaku kepada Hotel JW Marriot di Jakarta, yang memakan korban seramai kira-kira 12 orang dan kecederaan seramai 147 orang. Dalam artikel ini juga telah disenaraikan beberapa kejadian pengeboman yang berlaku di Indonesia antara tahun 1999 hinggalah ke hari ini. Antaranya :

1) pada 15 April 1999, berlaku letupan di Jakarta barat, dan golongan yang disyaki ialah pejuang Islam atau pejuang Acheh.

2) 19 April 1999, berlaku letupan di basement Masjid Istiqlal

3) 26 April 2000 berlaku letupan di Masjid Qauman

4) 28 Mei 2000 berlaku pula letupan di Gereja kristian bermazhab Protestan di Medan, mengakibatkan 60 orang cedera

5) 4 julai 2000 berlaku letupan di Pejabat Peguam Negara di Jakarta, sejam selepas pendakwa menyoal Tomi Suharto. Pihak yang disyaki adalah termasuk pegawai polis, pegawai tentera, dan juga pengawal peribadi Tomi. Setakat ni, tidak ada seorang pun yang dihadapkan ke mahkamah.

6) 1 Ogos 2000 berlaku letupan di Kedutaan Filipina di Jakarta, yang membunuh 3 orang dan mencederakan 21 orang.

7) 20 Ogos 2000 berlaku letupan di sebuah gereja di Medan, kemudian disusuli 27 Ogos 2000, 2 lagi letupan di Medan, dan pada hari yang sama juga berlaku letupan di parking lot kedutaan kerajaan Malaysia di Jakarta.

8) 13 Sept 2000, letupan berlaku di parking lot di sebuah stock exchange, yang membabitkan pembunuhan seramai 15 orang

9) 24 Dis 2000 menjelang perayaan krismas berlaku beberapa siri letupan bom di banyak tempat di Indonesia. Di antaranya di Jakarta, di Jawa Timur, Mataram di Nusa Tenggara, Sukabumi di Jawa Timur, di Medan, di Permatang Siantar, di Batam, di Riau dan sebagainya. Jumlah korban adalah 18 orang dan mencederakan 84 orang. Mangsa kebanyakannya adalah pengunjung-pengunjung gereja yang diberi hadiah berbungkuskan bom.

10) 10 Mei 2001 disyaki pejuang Acheh meletupkan sebuah rumah

11) 1 Januari 2002 berlaku letupan di sebuah restoran, dan 1 Julai 2002 berlaku lagi letupan di sebuah supermarket di tengah Jakarta

12) 12 Oktober 2002 letupan di Bali yang meragut korban seramai 202 orang

13) 24 April 2003 letupan di Pejabat UN di Jakarta, disusuli 27 April 2003 letupan di lapangan terbang Jakarta

14) 14 Julai 2003 meletup lagi di bangunan Parlimen, selepas pihak polis menangkap 9 orang yang disyaki sebagai pejuang Islam.

15) Dan akhir sekali yang terbaru ialah pada 5 Ogos 2003 berlaku letupan di hotel JW Marriot, Jakarta.

Laporan yang dibuat oleh majalah Feer ini menyatakan bahwa pasukan forensik dan juga pakar-pakar bom yang membuat kajian dan penyiasatan di tempat letupan itu, begitu cenderung untuk membuat kesimpulan bahwa serangan itu dilakukan oleh kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda. Okay sebelum kita melanjutkan perbincangan tentang lapuran majalah Feer ini, apa yang perlu kita mengaku bahwa kejadian serangan letupan di tempat-tempat awam sebegini boleh dikaitkan dengan 2 keadaan.

Yang pertamanya, serangan itu benar-benar dilakukan oleh satu kumpulan orang Islam yang memahami Islam dengan cara yang tidak betul. Kelihatan mereka ini seperti mahukan kepada Islam tetapi mereka memahami Islam dengan cara yang salah. Dan yang keduanya, siri kejadian serangan itu sebenarnya tidak dilakukan oleh golongan Islam, tetapi musuh-musuh Islam mengaitkan kejadian tersebut dengan golongan Islam di atas agenda-agenda yang kita sedia maklum.

Mula-mula mari kita tengok keadaan pertama tadi. Bukan kata di Indonesia, di Malaysia kita sendiri pun pernah berlaku beberapa kejadian di mana serangan di tempat-tempat awam dilakukan oleh golongan yang kelihatan seperti mahukan kepada agama, tetapi mereka sebenarnya menyeleweng daripada agama. Masih tak tuan-tuan ingat dengan peristiwa serangan terhadap balai polis Batu Pahat?...Ini dilakukan oleh golongan yang berjubah. Kalau diasaskan kepada pemerhatian kita kepada cara mereka berpakaian, sudah tentu kita kata bahwa mereka ini mahukan kepada agama. Tetapi perbuatan mereka mencederakan anggota polis yang tidak berdosa itu adalah perbuatan yang dilarang oleh agama. Mereka lakukan sedemikian kerana di atas kefahaman mereka terhadap satu ajaran yang sebenarnya bukan datang daripada ajaran Islam. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah:195 yang bermaksud, "...jangan dengan sebab usaha kamu sendiri, kamu mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan,.."...Asbabunnuzulnya ayat ini adalah berkaitan dengan hukum peperangan. Tetapi pengajarannya, para ulama` sebut boleh dipakai dalam semua aspek kehidupan. Jadi pointnya disini, apa yang nak sebut ialah jangan sampai tindakan kita itu boleh merosakkan diri kita sendiri, dan yang lebih berat lagi, sehingga mendatangkan fitnah kepada agama. Kita tidak mahu adanya dalam masyarakat kita yang memahami Islam secara tak betul sebegini.

Kalau kita tengok keadaan yang kedua pula; sebenarnya siri-siri serangan letupan apa semua ni bukan kerja orang Islam. Tetapi musuh-musuh Islam mengaitkannya dengan golongan Islam atas alasan untuk memburukkan agama Islam pada kacamata masyarakat antarabangsa. Kalau di Indonesia, ia dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI) dan pejuang Pemisah Acheh. Di Filipina, ia dikaitkan dengan MILF dan kumpulan Abu Sayyaf. Di M`sia, sememangnya ada pihak-pihak tertentu ingin mengaitkan keganasan ini dengan Pas. Ini yang perlu kita berhati-hati. Jangan sampai kita tersilap langkah.

Ingat tak tuan-tuan dengan Bandar Hama di Syria?...Kalau kita tersilap langkah, natijahnya mungkin seburuk yang pernah berlaku di bandar Hama di Syria. Bandar Hama ni dulu majoriti penduduknya adalah pendokong gerakan Islam yang dikenali sebagai Ikhwanul Muslimin. Bila semangat inginkan Islam meluap-luap, maka timbullah golongan-golongan pemuda mereka bertindak tergesa-gesa mendesak golongan ulama` untuk mengeluarkan fatwa bahwa harus mengangkat senjata terhadap kerajaan Presiden Hafiz al-Asad ketika itu. Tapi para ulama` Ikhwan di Syria menolak hasrat tersebut. Bila berlaku sedemikian, maka ada sebahagian daripada golongan pemuda Ikhwan ini yang begitu bersemangat untuk memperjuangkan agama, telah bertindak keluar dari kumpulan Ikhwan dan terus mengangkat senjata bertindak sendirian menyerang tentera-tentera kerajaan Syria. Daripada tindakan tergesa-gesa golongan pemuda inilah, menyebabkan Hafiz al-Asad mengambil peluang untuk menghancurkan bandar Hama yang majoritinya adalah pendokong-pendokong Ikhwanul Muslimin. Akibatnya, Ikhwanul Muslimin hampir-hampir lumpuh dikerjakan. Inilah dia sejarah yang pernah berlaku pada zaman moden tapi ianya tidak diceritakan secara meluas dalam masyarakat kita. Pengajaran daripada peristiwa tersebut sepatutnya menjadi iktibar kepada kita, khususnya kepada pejuang-pejuang Islam supaya tidak bertindak di luar daripada batasan yang dibenarkan oleh agama.

Okay berbalik kepada kejadian demi kejadian yang berlaku sekarang; kalau tuan-tuan tengok tv1 Berita Dunia jam 11 dua minggu sudah, bagaimana disiarkan satu berita tentang kerajaan Arab Saudi telah membebaskan 7 orang yang sebelum ini didapati bersalah dalam aktiviti pengeboman di bandar Riyadh pada tahun 2000-2001. Kesemua 7 orang ini bukannya orang Islam, tetapi mereka adalah orang barat. 5 daripada mereka adalah warganegara Britain, sorang daripada Kanada dan sorang daripada Belgium. Antaranya ialah seorang yang bernama William Sandson dan yang keduanya ialah Alexander Sandy Michel, mereka terlibat dalam satu aksi pengeboman, dimana bom tersebut diisikan dalam sebuah kereta dan kereta itu diletupkan di bandar Riyadh sehingga mengorbankan berbelas-belas warganegara barat. Kedua-dua mereka kemudiannya ditangkap dan mahkamah Arab Saudi mendapati mereka bersalah. Begitu juga dengan James Cotton, Peter Brandon, Leff Walker, James Patrick Lee dan Raff Chizer (warganegara Belgium); kesemua mereka dihukum penjara selama 12 tahun oleh kerajaan Arab Saudi kerana didapati bersalah terlibat dalam aktiviti pengeboman pada tahun 2001. Bila berlaku keadaan sedemikian, baru-baru ini, kerajaan Britain telah approach kerajaan Arab Saudi meminta kesemua mereka itu diampunkan. Dan last sekali yang kita dengar, oleh kerana kerajaan Arab Saudi ingin menjaga hubungan baik dengan kerajaan Britain, maka dia telah bersetuju untuk mengampunkan kesemua penjiyanah tadi dan terus mereka dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Ini dia tuan-tuan bukti yang menunjukkan kepada kita bahwa aktiviti pengeboman pada tahun 2000-2001 yang sebelum ini diwar-warkan dilakukan oleh gerakan Islam, terbukti sebenarnya adalah salah. Sebenarnya pengeboman itu dilakukan oleh pihak barat, bukannya dilakukan oleh militant Islam. Ini sebagai bukti yang jelas kepada kita bahwa sebenarnya pejuang Islam kalau dia menyertai gerakan Islam, dan dia memahami Islam dengan sebenar-benarnya, maka dia sekali-kali tidak akan terlibat dengan aktiviti pengeboman ditempat-tempat yang diharamkan oleh agama Islam.

Sebab itu tuan-tuan, kita yakin bahwa orang-orang Islam tidak akan melakukan perbuatan sebegini. Tetapi pada masa yang sama kita perlu ingat bahwa musuh-musuh Islam berada di mana-mana saja, at anytime mereka boleh melakukan sesuatu kepada gerakan Islam. Contoh terbaru kita boleh lihat macamana penangkapan Hambali dilakukan di bandar Ayutthaya Thailand. Dalam perkembangan tersebut, kita boleh lihat bagaimana pihak barat dengan kerjasama kerajaan beberapa negara cuba mengesan kedudukan Hambali, dan mengikut majalah Times yang terbaru, Hambali dapat dikesan sewaktu dia menggunakan telefon bimbitnya. Just buat satu call je, terus saja pihak FBI dengan kerjasama kerajaan Thailand dan Indonesia berjaya mengesan lokasi dimana Hambali berada. Peristiwa sebegini pernah berlaku pada seorang komander pejuang Chechnya beberapa tahun lalu. Dia buat satu call saja, terus saja satelite Rusia mengesan dan melepaskan peluru berpandu ke arahnya, dan akhirnya apa yang ditunjuk dalam gambar, hanya tinggal sebelah kasutnya saja. Ini dia tuan-tuan, jangan dok buat pasai. Katalah diandaikan satu hari berlaku perang antara kita negara Islam dengan puak kuffar, tiba-tiba dalam wanted list pihak kuffar tercatit nama kita, maka langkah yang mesti kita ingat ialah jangan sekali-kali menggunakan handset. Time tu handset sudah tidak berguna lagi sebagai alat perhubungan. Ia membahayakan diri kita. Kalau tuan-tuan tengok bil yang diterima tiap-tiap bulan pun kita boleh tahu panggilan dari mana kita buat. Maknanya, station rangkaian telefon kita tu boleh trace daripada mana panggilan kita buat. Tu dia tuan-tuan.

Jadi kesimpulannya, kita kena ingat bahwa musuh-musuh Islam sentiasa berusaha untuk meletakkan satu imej yang tidak baik kepada gerakan Islam. Walaupun kita tidak terlibat tetapi mereka berusaha untuk mengatakan bahwa gerakan Islamlah puncanya.

Berbalik kita kepada kejadian di JW Marriot tadi. Mengikut lapuran daripada majalah Feer, mereka percaya bahwa serangan terhadap hotel JW Marriot ini benar-benar dilakukan oleh gerakan Islam. Sebab depa kata lagu tu adalah kerana selain sasaran ketenteraan, sasaran yang paling penting yang boleh melumpuhkan Amerika ialah sasaran ekonomi Amerika. Ini mengikut analisis yang dibuat oleh majalah Feer, yang merupakan satu majalah yang banyak menceritakan tentang aspek-aspek ekonomi dan financial antarabangsa. Antara alasan Feer ialah mereka mengatakan bahwa gerakan Islam pada hari ini berusaha untuk melumpuhkan ekonomi Amerika kerana Amerika memberi bantuan kepada Israel sebanyak USD3 billion setiap tahun. Bila sasaran ekonomi Amerika diserang, maka ekonomi Amerika akan lumpuh dan Amerika tidak akan mampu untuk menyalurkan bantuan kepada kerajaan yahudi yang berpusat di Baitul Maqdis. Hujah Feer ini diambil dari peristiwa 11 Sept, yang menunjukkan apabila serangan terhadap WTC dilakukan, mengakibatkan ekonomi Amerika teruk merudum. Feer mengambil hujjah ini, untuk menyatakan kenapa mereka percaya bahwa serangan terhadap hotel JW Marriot ini benar-benar dilakukan oleh gerakan Islam. Tapi apa yang sebenarnya berlaku, setakat ini kita belum tahu. Oleh kerana itu kita sebagai orang Islam, kalau berlaku sesuatu tuduhan dikemukakan kepada sesuatu golongan, maka yang perlu kita tengok ialah buktinya terlebih dahulu. Sebagaimana serangan terhadap WTC tempohari, sehingga ke hari ini masih tidak ada bukti yang dikemukakan. Oleh sebab itu, kita percaya bahwa sahabat-sahabat kita yang memperjuangkan Islam, tidak akan melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah swt.

Jadi tuan-tuan sekelian, mudah-mudahan kita mendapat gambaran yang jelas dan tidak dapat dikelirukan oleh lapuran-lapuran daripada media puak kuffar.


Sambungan pengajian kitab Qanun Jinayah Syar`iyah.

FASAL 5.

HIRABAH

Perkara 82: Penjinayah hirabah yang bertaubat sebelum dapat ditangkap.

1) Mengikut peruntukan hukum syara` seseorang yang melakukan jinayah hirabah yang bertaubat sebelum ditangkap (menyerah diri), taubat mereka itu adalah diterima, dan mereka terlepas dari hukuman hudud (dibebaskan) dari hukuman had hirabah. Ini adalah merujuk firman Allah Ta`ala dalam surah al-Ma`idah ayat 34 yang disebutkan dalam perkara 79 ceraian (2).

[ Sebelum ditangkap, tiba-tiba si penjinayah itu merasa bersalah, lalu dia pun bertaubat dan pergi berjumpa dengan mangsanya untuk meminta maaf dan menyerahkan balik harta yang diambilnya; maka si penjinayah ini tidak wajib dikenakan hukuman hudud.

Nampak tak tuan-tuan betapa cantiknya undang-undang Islam ciptaan Allah swt. Jadi yang menghairankan, pasai apa sampai sekarang sebahagian daripada manusia masih tidak mahu kepada undang-undang Allah, sedangkan undang-undang ciptaanNya langsung tidak menzalimi sesiapa?...Malah undang-undang Islam ini memberi keadilan kepada kerajaan, memberi keadilan kepada masyarakat dan memberi keadilan kepada orang yang dituduh.

Mana mungkin masyarakat nak terima Islam, sekiranya maklumat yang nak disebarkan diterbataskan. Ada sebahagian manusia bukannya suka kalau kita cakap dengan agak lantang sikit. Tapi kelantangan kita inilah sebenarnya mengikuti sunnah yang diamalkan oleh Nabi saw, yang kemudiannya diikuti oleh para khalifah yang lain, dan juga para tabiin serta para ulama` yang muktabar.

Baru-baru ini ust Jailani cerita, ada wakil AJK dari Masjid Sg Lokan, Seberang Prai mai jumpa dia. Terkejut juga ust sebab apa yang dia tahu, AJK masjid Sg Lokan ni semuanya jenis benci kat ust-ust hat lantang ni. Mana-mana ust yang lantang, yang suka cakap benda sensitif, habih semua kena pecat. Last sekali yang tinggal hanya tok imam dengan sorang saja ust lagi. Hat ust yang tinggai ni pun, kalau sapa mengaji dengan dia, pakat habih tidoq belaka. Kita bukan nak hina, tapi ini realiti...Jadi bila jadi lagu ni, masjid berkenaan pun lengang dari majlis ilmu dan orang pun pakat lari habih. Sunyi sepi jadi masjid tu. Lalu si wakil AJK ni pun mengadu kat ust Jailani, meluahkan isi hati sedihnya melihat fenomena tersebut. Ust Jailani kata kat AJK tu, "Ust hangpa kan ada. Panggil saja la."...Ust Jailani suruh dia panggil ust-ust umno sebab ust tahu si AJK tu pun umno karat. Kemudian kata wakil AJK tu, "Ust pun tahu kan, orang kami mana suka mengaji sangat. Tapi kalau bab berebut jawatan, serah kat depa. Depa bukan peduli masjid nak kosong ka, nak apa ka, depa bukannya peduli. Tapi saya tak boleh, ustaz. Rumah saya dekat ngan masjid. Saya rasa sedih bila tengok masjid ni sunyi. Saya nak, masjid ni makmor macam dulu. Biaq orangramai pakat mai mengaji."...Tuuu dia tuan-tuan, orang umno sebut sendiri. Lalu kata ust Jailani, "Ok kalau lagu tu, apa yang pakcik nak suruh saya buat?"...Dia kata, "La ni ust bagi kat saya, nama-nama ust hat crowd puller punya. Pasai duit, jangan risau. Kami tak akan kutip dari orangramai sebab kami ada tabung. Jadi untuk peringkat awalnya, ust tolong bagi nama-nama ust hat crowd puller tapi tak kata kat orang."...Ust Jailani kata, "Mana ada hat crowd puller tak kata kat orang."...Bila dengaq ust kata lagu tu, dan-dan dia kata, "Carilah hat ringan-ringan sikit pun takpa."...Ust pun bagi kat dia nama 4 orang ust bagi memulakan balik sesi pengajian kerana sekarang ni dah sunyi sepi masjid tu. Tu dia tuan-tuan, bahananya suka sangat pecat ust-ust yang menyampaikan Islam secara jujur.

Tuan-tuan, mai saya nak tanya, "Yang kita tak suka sangat kat ust-ust hat lantang ni pasai apa?"...Cuba kita kembali kepada sejarah. Tengok imam-imam mazhab, macamana depa berdepan dengan golongan pemerintah. Dalam muqaddimah Matan al-Arbain, kita boleh tengok macamana Imam an-Nawawi mengkrititk pemerintah sebab cuai sehingga membiarkan harga makanan melambung pada zamannya. Tu dia Imam an-Nawawi tuan-tuan. Bukannya macam ust-ust sekarang yang takut sangat nak kritik kerajaan. Takut nak krtitik pasai takut satgi soru miss, takut tak dapat pingat gelaran dato` ka apa ka. Punyala kipas mau gelaran dato`, sampai kerajaan buat apa pun, kira YES angguk saja. Inilah dia sebenarnya sikap ulama` palsu yang dicanang umno baru-baru ni. ]

2) Penjinayah-penjinayah hirabah yang bertaubat sesudah dan selepas mereka ditangkap, taubat mereka tidak boleh diterima, kerana taubatnya itu bukan dengan keikhlasan hati, tetapi adalah kerana hendak melepaskan dirinya dari hukuman had hirabah.

[ Lepas kena tangkap, bawa masuk dalam lokap, baru nak menangis minta ampun. Orang lagu ni, sorry. Taubat dan minta ampunnya tidak diterima. Perbicaraan tetap diteruskan, pertuduhan tetap dikenakan dan hukuman tetap dilaksanakan apabila cukup syarat-syaratnya. ]

3) Penjinayah-penjinayah hirabah yang bertaubat sebelum ditangkap yang terlepas dari hukuman had hirabah ialah penjinayah-penjinayah yang bukan melakukan jinayah hirabah yang melibatkan hak manusia, seperti membunuh dan mencederakan tubuh badan mangsanya.

[ Penjinayah yang diterima taubatnya ialah penjinayah yang tidak membabitkan pembunuhan atau mencederakan mangsa. Kalau berlaku sebarang pembunuhan atau kecederaan ke atas mangsa, maka taubat mereka tidak akan diterima. ]

4) Penjinayah-penjinayah yang melakukan kesalahan hirabah yang melibatkan hak manusia wajib dikenakan hukuman mengikut kesalahan yang dilakukannya, sekalipun mereka telah bertaubat sebelum mereka ditangkap.

[ Contohnya dalam satu rompakan, penjinayah-penjnayah itu telah merompak duit bank dan membunuh pengawal keselamatan bank. Tiba-tiba sebelum ditangkap, kesemua mereka bertaubat. Keadaan seperti ini tidak mengizinkan taubat mereka diterima sebab mereka telah membunuh satu nyawa. Mereka tetap tertakluk di bawa hukuman had hirabah. ]

5) Dalam kes kesalahan hirabah, penjinayah-penjinayah yang membunuh atau mencederakan tubuh badan mangsanya wajib dikenakan hukuman qisas, iaitu membunuh dibalas dengan bunuh, melukakan dibalas dengan luka, mencederakan dibalas dengan mencederakan.

6) Kesalahan hirabah yang hanya mengambil dan merampas harta benda mangsanya sahaja, kemudian ia bertaubat dan dikembalikannya harta benda yang diambil dan yang dirampas itu kepada tuannya untuk membuktikan taubatnya, maka terlepaslah penjinayah itu dari hukuman had hirabah yang diperuntukkan dalam perkara 79 perenggan (c).

[ Kalau kesalahan yang dilakukan hanya membabitkan harta benda, dan dia bertaubat sebelum ditangkap, lalu dia memohon maaf dan menyerahkan harta benda yang dirampas itu kepada tuan empunya yang asal, maka taubatnya diterima oleh hukum syara`, dan dia terlepas daripada hukuman hudud.

Okay tuan-tuan bila bercakap pasai hirabah ni, mari kita tengok isu gangsterism yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Sebab yang melakukan kesalahan hirabah ni selalunya ada hubungkait dengan gangster. Gangster dengan samseng tu sama la. Iaitu satu kumpulan penjahat yang suka merompak dan menyamun. Mari kita tengok dalam Islam pula, adakah gangster tu boleh dikatakan sebagai asobiyah?...Barang diingat, Nabi saw telah memberitahu kepada kita bahwa tidak ada asobiyah dalam Islam. Asobiyah dalam konteks kita hari ini ialah kita tolong orang kita walaupun orang kita itu melakukan kezaliman. Walaupun kita tahu kawan kita mencuri, tapi kita tolong juga dia, maka itu dikatakan asobiyah. Sama la juga kalau berlaku dalam satu kumpulan. Kita tolong kumpulan kita walaupun kita tahu kumpulan kita melakukan kederhakaan kepada Allah swt; itu juga adalah asobiyah.

Contoh dia macam ni. Ust Jailani cerita satu hari datang seorang ibu minta ust tolong ambik balik anak perempuan dia yang lari dengan sorang lelaki dan mereka kawin di negeri Perak. Si ibu tu kata bila dia dapat salinan surat nikah tersebut dan apabila dia rujuk kepada pihak berkuasa agama negeri Perak, didapati dan disahkan bahwa surat nikah tersebut adalah palsu...Tu dia tuan-tuan. Ini banyak berlaku bila menikah melalui sindiket. Kalau melalui naib qadi, takpa. Yang tu gerenti beres. Menurut ust Jalani, daripada banyak pengalaman dia mengendalikan kes-kes sebegini, bila ada saja pasangan yang menikah melalui sindiket, berkemungkinan besar surat nikah yang dikeluarkan itu adalah palsu. Okay bila si ibu tu tahu surat nikah tu tak sah, maka si ibu itu pun pergi cari anak dia, supaya mendapatkan balik anak dia dan nak bagitau kat anak dia bahwa, "Kamu telah menikah dengan cara yang tidak sah. Sekarang kamu duduk dalam keadaan berzina!"...Selepas selang beberapa hari mencari, last sekali jumpalah dengan alamat si lelaki tersebut. Bila dapat alamat, maka jumpa lah satu rumah yang seakan-akan bangsal. Rupa-rupanya, rumah tersebut adalah rumah isteri pertama lelaki berkenaan. Depa ada 4 orang anak. Bila tengok rumah tu, si ibu tu pun kata kat ust, "Sedih saya ust. Kalau inilah rumah isteri pertama, dengan bumbung bocoq, dengan dinding macam nak luruh, saya tak boleh nak imagine macamana pulak rumah yang anak saya duduk!"...Jadi bila tanya kepada isteri pertama tu, "Mana suami puan sekarang?"...Lalu dia pun bagitau lebih kurang tempat di mana suami dia dengan anak gadis tadi duduk. Cari punya cari, jumpalah tempat tu. Tengok-tengok, betoilah sangkaan si ibu tadi. Berderai airmata si ibu bila tengok anak gadis dia duduk bersama lelaki tu dalam sebuah bangsal berlapikkan hanya kertas suratkhabar. Bukan tikar getah, bukan tikar mengkuang tuan-tuan. Sampai tara tu pun, masih juga anak gadis tu sanggup ikut si lelaki berkenaan. Inilah yang membuatkan si ibu tu syak bahwa anak dia telah di"guna-guna"kan.

Okay bila si ibu tu nak ambik anak dia kembali, tiba-tiba datang 4 bijik kereta halang si ibu tadi. Lalu si ibu tu tak boleh nak buat apa, sekaligus menggagalkan hasratnya. Inilah dia masalah dalam masyarakat kita hari ini, tuan-tuan...Hat geng 4 bijik kereta tu bukannya tau apa punca pun, tapi sanggup tolong orang depa dalam keadaan menzalimi orang lain. Perbuatan sebegini diharamkan oleh Nabi saw. Lalu si ibu ni pun balik dalam keadaan helpless, tak tau dah nak minta tolong kat sapa. Sampai ke hari ini pun, anak gadis dia masih tak dapat diambik.

Kemudian nak jadi ceritanya, tiba-tiba satu hari datang pula seorang yang mengaku sekampung dengan si ibu tadi berjumpa dengan ust Jailani. Dia bagitau kat ust, "Saya bukannya nak cerita keburukan orang tapi ini adalah cerita sebenar."...Ust tanya, "Apa pulak ni?"...Orang tu pun kata, "Betoilah, kesian kat dia sebab anak dara dia pi lari ikut jantan. Tapi dia (si ibu) ni pun dulu ligat jugak ust oiii!...Dia pun pernah curang kepada suami dia. Pi duduk bersedudukan dengan lelaki lain. Kalau saya la, lama dah saya cerai bini lagu ni!"...Tuan-tuan, sebenarnya kita tak tau kesahihan cerita tu. Tetapi sebagai satu pengajaran, kita kena ingat bahwa inilah yang kita panggil sebagai putaran roda penghidupan. Hari ini kita boleh buat curang terhadap suami kita, begitu juga kalau kita lelaki, kita boleh curang kat isteri kita. Depan mata anak-anak kita sendiri, kita jadi womanizer, kita ikut jantan lain. Tak lama tuan-tuan kalau Allah swt ingin menyegerakan azabNya kepada kita di atas dunia ni. Dulu kita buat kat suami/isteri kita, tapi akan tiba satu masa, Allah akan tunjukkan kepada kita macamana azabnya bila anak kita sendiri melakukan perbuatan yang melukakan hati kita pula.

Ust kata bila dia tengok foto budak pompuan tu yang kelihatan begitu cantik, berkulit putih dan pakai tudung labuh; dia tak sangka bahwa budak pompuan tu boleh buat begitu kepada emak dia. Kalau nak banding dengan gambar si jantan yang dia ikut tu, bagai langit dengan bumi, ust kata. Budak pompuan tu nampak lembut, nampak mukminah, nampak solehah; nak bandingkan dengan hat jantan tu, ust kata muka si jantan tu kalau compare dengan boya, boya pun kalah. Muka nampak muka jahat.

Jadi pointnya di sini ialah herannya kita pada hari ni kerana ada segelintir manusia yang sudah tidak ada rasa simpati lagi dalam hati mereka. Bukan depa tak tau kawan depa pelari anak dara orang?...Tapi bila mak si budak tu nak mai ambik, depa sanggup pula mempertahankan kawan walaupun depa memang sedia maklum bahwa kawan depa itu mengambil anak dara orang dengan cara yang tidak betul. Perangai macam ni sepatutnya kita kena hindari. Bukan apa tuan-tuan; Allah Ta`ala Maha Berkuasa. Yang dikatakan azab atas dunia ni, mungkin kita tahan dan mungkin juga kita tak tahan. Tapi kalau azab dalam kubur, azab di hari akhirat, azab dalam neraka; semua ni sudah pasti kita tidak mampu hadapi. Ini yang kita takut, tuan-tuan. Jadi terpulanglah kepada kita samada kita nak pilih jalan yang diredhai Allah, ataupun jalan yang dimurkai oleh Allah swt...Nauzubillah. ]

7) Penjinayah-penjinayah yang melakukan kesalahan hirabah yang diperakui taubatnya ialah dengan kerelaannya sendiri menyerah diri kepada pihak yang berkuasa dan mengaku taat setia serta menyerahkan semua senjatanya kepada Ulil Amri sebelum ia ditangkap.

[ Nak tau dia taubat ke tidak; kalau masih ada harta rompakan, pasti dia serahkan kembali kesemuanya. Begitu juga dengan senjata. Dia mesti serahkan kesemua senjatanya kepada pihak pemerintah untuk menandakan dia bertaubat. ]

8) Hukuman yang patut dikenakan ke atas penjinayah hirabah yang telah bertaubat adalah hak Ulil Amri di mana Ulil Amri itu mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan hukuman yang boleh dan patut dikenakan ke atas penjinayah hirabah yang telah bertaubat itu.

[ Walaupun penjinayah yang bertaubat itu telah terlepas daripada hukuman hudud, tetapi pihak yang berkuasa masih mempunyai kuasa di sisi hukum syara` untuk mengenakan hukuman ta`zir. Terpulanglah kepada kebijaksanaan pemerintah untuk melaksanakannya, samada nak dipenjarakan, nak didenda dan sebagainya. ]

9) Sesuatu hukuman yang telah diputuskan dan ditentukan oleh Ulil Amri ke atas penjinayah yang telah bertaubat wajib ditaati dan dipatuhi. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta`ala yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa di kalangan kamu.)" (Surah an-Nisaa`:59)

[ Pengajaran daripada ayat Quran di atas ialah pada kalimah "taatlah". Allah suruh kita taat pada 3 golongan. First sekali, taat kepada Allah. Yang keduanya, taat kepada rasul. Dan yang ketiganya, taat kepada ulil amri. Kalimah "taatlah" kita boleh tengok hanya ada pada Allah dan rasul. Tetapi bila sampai kat ulil amri, dia tidak ada kalimah "taatlah". Dari sini para ulama` mengatakan bahwa dengan adanya kalimah "taatlah" pada Allah dan rasul, maka ketaatan pada Allah dan rasul itu adalah tanpa syarat (mutlak). Maknanya ketaatan pada Allah dan rasul tidak boleh dipertikaikan. Manakala ketaatan pada ulil amri yang tidak didahulukan dengan kalimah "taatlah" itu, para ulama` kata, ketaatan itu ada syaratnya. Iaitu selagi mana perintah ulil amri itu sesuai dengan Kitabullah dan sunnah Rasulullah saw, maka kita kena taat. Tapi kalau ulil amri itu tergolong dalam golongan yang fasik atau yang menderhaka kepada Allah swt, maka tidak ada ketaatan kepada mereka, sebab ketaatan pada golongan fasik akan membawa pada rosaknya agama. Ini merupakan perbincangan dikalangan para ulama` berkenaan Surah an-Nisaa`:59.

Termasuk dalam ulil amri di sini ialah ketaatan isteri kepada suaminya, ketaatan anak kepada ibubapanya, penghormatan anak muda kepada golongan tua, ketaatan orang jahil kepada golongan berilmu, ketaatan rakyat kepada pemimpinnya dan sebagainya. ]

Perkara 83: Hukuman dalam kes-kes jinayah syar`iyah.

1) Dalam kes-kes jinayah syar`iyah, hukuman Allah yang bersumberkan dalil-dalil al-Quran dan hadith-hadith yang sahih dinamakan "hukuman hudud, qisas dan diyat". Dan hukuman yang dijatuhkan dan ditentukan oleh Ulil Amri atau wakilnya (hakim) dinamakan "hukuman ta`zir".

[ Yang mana datang daripada nas al-Quran dan hadith Nabi saw yang sahih, itu dinamakan hukuman hudud, qisas dan diyat. Maknanya daripada nas agama. Manakala ta`zir datang daripada rekaan manusia. Pemerintah yang cipta hukuman ta`zir. Bukannya daripada nas agama. ]

2) Hukuman Allah dan RasulNya tidak boleh diubah, ditukar ganti, dikurangi, atau ditambah. Tetapi hukuman Ulil Amri (hukuman ta`zir) yang dijatuhkan oleh hakim ke atas penjinayah boleh diubah, ditukar ganti, dikurangi, ditambah dan boleh diketepikan hukuman itu, jika difikirkan oleh Ulil Amri atau wakilnya (hakim) bahawa hukuman itu tidak munasabah dan tidak sesuai dikenakan ke atas penjinayah-penjinayah itu.

[ Hudud, qisas dan diyat; tak boleh diubah. Sebab dia dah ada nas. Tapi ta`zir, ia terpulang kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menentukan bentuk dan kadar hukuman. Bila sebut "kebijaksanaan pemerintah", ini bermakna negara kita perlu kepada pemerintah yang bijak dan beriman kepada Allah swt. Bijak saja tak cukup kalau tak reti nak beriman kepada Allah. Sebab pemerintah yang beriman sajalah yang boleh menentukan kadar bentuk hukuman yang adil mengikut hukum agama. Kalau betul-betul salah, baru dihukumnya. Kalau tak salah, buat apa nak dihukumnya. Tapi apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, dia jadi terbalik pula. Contohnya, cuba kita tengok respon pemimpin kita terhadap filem Bruce all mighty. Walaupun filem ini clear boleh merosakkan aqidah umat Islam, tetapi ia tetap dibenarkan penayangannya di pawagam-pawagam dalam negara kita. Mentertawakan adegan-adegan yang kata tuhan menjelma jadi manusia, boleh mendatangkan rosaknya aqidah. Sebabnya?...Kalau kita refer dalam satu hadith Nabi saw, Nabi mengatakan bahwa ada beberapa perkara, yang mana walaupun dalam bentuk senda gurau tapi hakikatnya ia benar-benar berlaku. Yang pertamanya ialah kuffur kepada Allah, yang keduanya ialah soal pernikahan dan yang ketiganya ialah bab perceraian.

Contohnya katalah saya ada anak pompuan, kecik lagi. Carry dia dalam raga moto, bawa pi kedai kopi. Tengah dok minum tu, kita pi melawak ngan kawan sebelah, "Ni Mat! aku bagi menikah hang ngan anak aku hat kecik ni..."...Mat kata, "Ok no problem! saya terima."...Kat situ pula ada ramai dok dengaq perbualan saya dengan si Mat. Time tu jadi sah pernikahan tersebut. Dengan adanya offer daripada si bapa, kemudian adanya acceptence daripada si lelaki, ada juga pengantin perempuan yang dinamakan itu dan ada pula saksi yang dengaq, maka sah nikah tersebut walaupun tak sebut maskawin, walaupun tak shakehand dengan tok imam, walaupun borang daripada pejabat agama takdak sekalipun. So sapa hat bapa ada anak pompuan, jangan dok buat lawak dengan bab nikah. Begitu jugalah dengan bab bercerai. Jangan dok buat main-main. Jadi sungguh walaupun melalui sms. Samalah juga dalam bab aqidah ni pun. Kita terhibur tengok adegan dalam filem Bruce all-Mighty, tuhan menjelma jadi manusia. Kita bergelak ketawa tengok adegan demi adegan. Tapi sebenarnya, perbuatan bergelak ketawa kita itu membawa kepada terbatalnya syahadah. Bahaya tu tuan-tuan...Awat takdak gambaq lain nak tengok dah ka?...Kalau minat sangat tengok filem pun, pi la cari gambaq lain. Islam memang tak larang kita berhibur. Tapi pilih la gambaq hat kita nak tengok tu, jangan sampai mendapat dosa. Jadi sapa yang berhajat nak beli vcd Bruce all Mighty, baik lupakan saja hasrat tu. Saya sendiri walaupun pada mulanya ingin juga nak tengok (sebab saya pun kaki vcd juga) tapi selepas ust Jailani pesan, terus saja membatalkan niat saya tu. Sebab apa?...Sebab saya takut mungkin akan tertawa ketika tengok sedikit adegan dalam filem tersebut. Ini boleh merosakkan aqidah. Sebab tu kita kena berjaga-jaga dalam soal macam ni.

Jadi bagi sesiapa yang ada jawatan dalam kerajaan tu, tolong tengok-tengok sikit dalam hal macam ni. Gunalah kuasa yang ada untuk menjaga agama dalam masyarakat kita, yang semakin hari semakin bercelaru dah hari ini. Sebenarnya, benda macam ni bukan dalam Islam saja; dalam agama lain pun dilarang. Tapi nak buat macamana, pemimpin agama lain tidak bersungguh-sungguh dalam nak menjaga agama depa. Itu terpulang kepada mereka. Tapi kita sebagai orang Islam, kita berkewajipan menjaga supaya tidak terbatal aqidah saudara seIslam kita. ]

3) Penjinayah hirabah yang bertaubat sebelum ditangkap, taubatnya itu hanya untuk menghapuskan hukuman yang menjadi hak Allah yang diistilahkan dalam qanun jinayah syar`iyah hukuman hudud.

4) Hukuman yang menjadi hak Ulil Amri yang diistilahkan dalam qanun jinayah syar`iyah hukuman ta`zir tidak boleh dihapuskan dengan hanya bertaubat yang dibuat oleh penjinayah hirabah sebelum ia ditangkap.

5) Penjinayah-penjinayah hirabah yang telah bertaubat sebelum mereka ditangkap hanya boleh digugurkan hukuman Allah, tetapi masih ada lagi dua jenis hukuman yang wajib dipikul dan ditanggung oleh penjinayah-penjinayah yang telah bertaubat itu.

a) Hak Ulil Amri, iaitu hukuman ta`zir.

b) Hak adami (hak manusia), iaitu hukuman qisas, atau mengembalikan harta benda yang diambilnya.

[ Taubat si penjinayah, itu antara dia dengan Allah selesai. Tapi dengan manusia, kalau masih ada harta yang dipegang, maka wajib dikembalikan, untuk menyelesaikan antara si penjinayah dengan mangsanya. Dengan pemerintah pula, hukuman ta`zir akan menentukan. ]

6) Penjinayah-penjinayah hirabah sekalipun mereka itu telah bertaubat sebelum mereka ditangkap, mereka itu wajib juga dibawa dan dihadapkan ke majlis qadha` (mahkamah) untuk menerima hukuman yang menjadi hak Ulil Amri dan hak adami (hak manusia).

[ Walaupun selesai dengan Allah swt melalui taubat, tapi atas perhitungan sesama manusia, si penjinayah tetap dihadapkan ke mahkamah untuk diadili dan dikenakan hukuman mengikut kerajaan dan juga untuk menyelesaikan antara sesama manusia. ]

Wallahu ta`ala `alam.